KOTA KINABALU : Sebanyak 24 pasukan menyertai pertandingan persahabatan Tenpin boling MUTIARA GRS bersama pertubuhan bukan kerajaan (NG0) wanita Sabah di Galaxy Bowl Centre Point di sini kelmarin.
Majlis perasmian program itu disempurnakan Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat, Gabungan Rakyat Sabah (MUTIARA GRS), Datin Seri Juliah Salag merupakan isteri Ketua Menteri Sabah.
Pertandingan anjuran Biro Sukan MUTIARA GRS itu antara lain bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara NGO wanita di negeri ini.
Juliah berkata, pertandingan seperti itu sangat bermakna bagi memupuk hubungan lebih erat antara peserta dalam matlamat meningkatkan keupayaan dan daya saing dalam kalangan wanita di Sabah.
Katanya, aktiviti ini mampu memupuk gaya hidup sihat dalam kalangan ahli dan kepimpinan NGO selain membentuk jati diri, disiplin dan semangat bekerjasama di bawah dalam kumpulan.
“Golongan wanita muda tidak seharusnya mengabaikan kegiatan bersukan ketika di bangku sekolah kerana penyertaan dalam bidang berkenaan boleh membantu meningkatkan pencapaian sukan negara.
“Melalui bersukan juga memberikan impak positif kepada kesihatan fizikal dan mental kita,” katanya.
Menurutnya, aktiviti riadah seperti pertandingan tenpin boling berkenaan perlu diteruskan kerana bukan sahaja dapat menyihatkan tubuh badan tetapi juga menjadi aktiviti bagi mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga dan jiran tetangga.
“Riadah dan senaman yang dilakukan bersama-sama seperti ini pasti lebih menyeronokkan,” jelas Juliah.
Bagi kategori berkumpulan, tempat pertama dimenangi pasukan Puspanita B, Kesumba (kedua) dan KK Nilam (ketiga).
Bagi kategori perseorangan juara daripada Puspanita A (568), kedua Kesumba (557) dan ketiga Puspanita B (556).
Hadir sama Ketua Wanita Gagasan Rakyat Sabah, Datuk Redonah Bahanda serta ahli- ahli Wanita Gagasan Rakyat.