Tawau : Seramai 280 peserta dari enam buah negara bakal menyertai ‘Tropical Rainforest Run 2024’ yang akan berlangsung di Taman Bukit Tawau Ahad ini.
Peserta yang menyertai akan bersaing dalam larian sejauh 28 kilometer yang terbahagi kepada empat kategori iaitu Lelaki Terbuka (68); Lelaki Veteran (34); Perempuan Terbuka (54) dan Perempuan Veteran (24).
Daripada jumlah peserta menyertai, seramai 100 peserta akan menyertai acara ‘Fun Run’ sejauh enam kilometer.
Malaysia menjadi antara negara teramai menghantar peserta bagi larian sejauh 28 kilometer iaitu seramai 143 orang dan diikuti Singapura (12); Kenya (9); Indonesia (8); Brunei (6) dan Taiwan (2).
Manakala bagi ‘Fun Run’, Malaysia turut menghantar peserta teramai iaitu sebanyak 88 orang diikuti Thailand; Filipina dan Indonesia masing-masing tiga peserta dan China seorang.
Dalam satu kenyataan hari ini, larian itu menawarkan pengalaman perlumbaan mendebarkan di salah satu hutan hujan yang paling kaya biodiversiti di dunia.
Acara larian itu turut memberi cabaran kepada peserta apabila melalui laluan mencabar Gunung Lucia dengan ketinggian 1,200 meter melibatkan larian sejauh 28 kilometer.
Bagi acara ‘Fun Run’ pelari akan meneroka laluan ke mata air panas sulfur berwarna turquoise dengan santai selain memberikan peluang untuk menikmati keindahan hutan hujan serta berpeluang melihat hidupan liar dan spesies tumbuhan endemik seperti ‘Orkid Telinga Gajah’ dan Begonia Lamriana.
Acara ini bertujuan mempromosikan pemuliharaan hutan hujan dan menonjolkan kekayaan biodiversiti Taman Bukit Tawau.
Peserta akan berpeluang berlari di kalangan pokok gergasi, termasuk Pokok Meranti Kuning (Shorea faguetiana), salah satu pokok tropika tertinggi di dunia.
Taman Bukit Tawau pernah memegang rekod pokok tertinggi sebelum penemuan pokok yang lebih tinggi di Lembah Danum.
Taman ini juga menjadi habitat pelbagai hidupan liar seperti ungka Borneo, monyet daun kelabu, monyet daun merah, burung enggang, dan kuang yang jarang ditemui. – SABAH MEDIA / FOTO SRI PELANCONGAN