KOTA KINABALU: Sudah tiba masanya Jawatankuasa Kira-kira wang negeri seperti PAC di peringkat persekutuan ditubuhkan di Dewan Undangan Negeri yang mana keahliannya mesti dianggotai oleh ADUN dari pembangkang dan kerajaan negeri, kata Pengarah Jabatan Pilihan Raya UMNO Sabah Jeffery Nor Mohamed.
Menurutnya ia bertujuan mengangkat sistem ‘recheck’ ke atas mana-mana badan yang berkaitan dengan kerajaan negeri.
Jeffery juga berpendapat bahawa sudah sampai waktu kerajaan negeri menyenaraikan pelantikan ahli lembaga pengarah (BOD) syarikat-syarikat dan anak-anak syarikat GLC negeri Sabah kepada umum seperti yang dilakukan di peringkat persekutuan bagi menggambarkan ketelusan dalam pelantikan.
“Ianya melibatkan kepentingan awam di mana syarikat SMM adalah anak syarikat kepada SMJ yang menjaga pengurusan mineral negeri Sabah, dan sudah tentu rakyat Sabah ingin tahu syarikat-syarikat mana yang memperolehi lesen mencarigali (prospecting licence),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata Dasar Mineral Negeri sepatutnya perlu ada kerana ianya bertujuan memperjelaskan hala tuju yang “kita mahu bawa dengan hasil negeri Sabah ini”.
Jeffery berkata pendapatan SMM perlu jelas dari mana datangnya hasil dengan membawa maksud berapa dividen yang diperolehi atau adakah perolehan dividen serta pendapatan syarikat SMM telus.
Katanya langkah itu penting bagi memastikan hasil pendapatan mineral boleh digunakam kembali untuk kebaikan pembangunan sosial dan fizikal untuk rakyat Sabah.
“Laporan audit yang lengkap ke atas syarikat-syarikat GLC kerajaan negeri Sabah juga perlu dibentangkan kerana laporan sebelum ini banyak syarikat GLC Sabah tidak memberi pulangan yang baik atau signifikan kepada kerajaan negeri,” katanya.