Pattani,Thailand : Perlawanan persahabatan bertemu Buriram United FC semalam disifatkan sebagai medan pembelajaran penting buat Sabah FC yang baru memulakan latihan pra musim kurang daripada sebulan lalu.
Jurulatih Sabah FC Alto Linus berkata, meskipun tewas 2-8 pada aksi itu, namun beliau mengakui keputusan itu bukanlah yang diharapkan.
Katanya, skuad The Rhinos masih berada dalam fasa pembentukan pasukan menjelang sepak mula Liga Malaysia yang dijadualkan bermula pada awal Ogos ini.
“Perlawanan ini amat berguna untuk menilai tahap kesediaan pasukan. Kita berdepan kelab terbaik di Asia Tenggara dan ia mendedahkan beberapa kelemahan yang perlu segera diperbaiki, terutamanya dalam aspek bertahan dan transisi permainan,” katanya.
Alto turut mengakui tahap kecergasan pemain masih belum berada di tahap optimum, memandangkan Sabah FC hanya sempat mengadakan satu perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Kasuka FC.

“Saya percaya kami perlukan tiga hingga empat lagi aksi persahabatan sebelum benar-benar bersedia untuk menghadapi saingan liga,” katanya.
Dalam masa yang sama, Alto turut memuji prestasi pemain-pemain muda yang baru dinaikkan dari skuad bawah 23 tahun, yang menurutnya telah menunjukkan peningkatan dari segi kematangan dan komitmen apabila diberi peluang beraksi bersama pemain senior.
Selain itu, dua tonggak utama pertahanan pasukan, Dominic dan Gabriel, dijangka pulih sepenuhnya daripada kecederaan dalam tempoh seminggu, sekaligus memberi tambahan kekuatan kepada benteng pertahanan pasukan.
Mengenai tiga pemain import baharu (Dean Pelekanos, Dane Ingham & Ajdin Mujagic) yang menyertai pasukan musim ini, Alto menyatakan rasa puas hati terhadap prestasi semasa mereka, namun menekankan bahawa tahap kecergasan dan keserasian mereka masih perlu dipertingkatkan sebelum liga bermula.
Sabah FC dijangka akan meneruskan beberapa lagi perlawanan persahabatan dalam minggu-minggu terakhir pra musim bagi memastikan skuad badak benar-benar bersedia dari segi fizikal, taktikal dan mental untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia 2025/2026. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC