Kuala Lumpur : Sabah FC memutuskan untuk mengekalkan barisan kejurulatihan sedia ada bagi mengisi kekosongan bekas pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee yang memilih untuk tidak menyambung kontraknya berakhir hujung bulan ini.
Pengurus Pasukannya, Rafie Robert berkata, barisan kejurulatihan sementara itu akan diketuai Alto Linus dan Martin Stano dan perkara itu dipersetujui sebulat suara pihak pengurusan serta Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) terhadap cadangan berkenaan.
Katanya, secara tidak langsung pihak kejurulatihan sedia ada sudah memahami corak latihan serta taktikal ketika bersama Kim Swee.
“Kita yakin pemain sedia ada memang sudah serasi dengan corak pendekatan diterapkan kejurulatihan Kim Swee sekali gus berusaha mengekalkan momentum yang diperkenalkan sejak sekian lama.
“Apa yang penting ketika ini, semua pemain perlu bersiap sedia untuk mengalas tugas dengan memastikan sasaran ditetapkan pihak pengurusan dapat direalisasikan kelak,” katanya ketika ditanya pemberita selepas perlawanan di sini semalam.
Rafie berkata, pihaknya tidak ingin menganggu apa yang diterapkan selama ini kerana jika diubah ia sudah tentu memakan masa untuk diterapkan oleh semua pemain.
“Kita mahu semua pihak termasuk pemain perlu menjalani proses latihan seperti biasa, fokus serta mampu mengekalkan momentum kemenangan.
“Kita tidak mahu mereka akan terjejas dengan perubahan drastik yang dilakukan sekiranya memerlukan seorang jurulatih dalam tempoh terdekat,” katanya.
Beliau mengakui terasa kehilangan Datuk Ong Kim Swee termasuk dalam kalangan pihak pengurusan Sabah FC.
“Tetapi, kita tidak seharusnya terhenti begitu sahaja, malah terus berusaha dengan pihak kejurulatihan sedia ada untuk meneruskan sesi latihan untuk menghadapi perlawanan Piala Malaysia serta Liga Super nanti,” katanya.
Semalam media melaporkan, Sabah FC dilaporkan sedang mencari pengganti sementara Datuk Ong Kim Swee secepat mungkin bagi memastikan kesinambungan prestasi skuad Sang Badak dalam menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala Malaysia musim 2024/2025. –SABAH MEDIA