Kota Kinabalu: Seramai 40 belia dari beberapa buah negara ASEAN menyertai Program Sukarelawan Belia ASEAN 2025 (AYV 2025) yang berlangsung di Kampung Kobuni Inanam di sini.
Program yang berlangsung selama tujuh hari bermula 12 Julai lalu itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sempema ‘ASEAN-Malaysia Chairmanship 2025’ dengan objektif memperkasa belia menerusi aktiviti kesukarelawanan, pertukaran budaya dan pembangunan komuniti.
Ketua Kampung Kobuni, Aji Rombuton, 66, berkata keterlibatan komuniti dalam program tersebut merupakan satu pengiktirafan terhadap komitmen penduduk dalam memelihara budaya dan menyokong usaha pelancongan komuniti inap desa.

“Kampung ini sudah dikenali ramai dan telah terlibat dalam pelbagai program sejak sebelum AYV lagi. Penduduk sentiasa terbuka menerima tetamu dan menjadikan budaya tempatan sebagai kekuatan.
“Aktiviti-aktiviti dijalankan termasuk menceriakan balai raya dengan lukisan mural, sukan rakyat, gotong-royong, pertukaran budaya dan program kesedaran alam sekitar yang melibatkan penyertaan penduduk kampung serta peserta antarabangsa.
“Balai Kebudayaan Kobuni turut menjadi lokasi persembahan seni, warisan tradisi dan demonstrasi masakan etnik seterusnya membuka peluang kepada peserta mengenali budaya setempat secara langsung,” katanya.
Beliau berkata demikiaa ketika ditemui pada majlis ‘Welcoming Dinner ASEAN Youth Volunteer Programme 2025’ di sini, pada Ahad.
Homestay Desa Cinta Kobuni dan Homestay Id Kalangadan baru-baru ini menerima Anugerah ASEAN Homestay Standard (AHSA) atas pencapaian dalam memelihara budaya, menjana ekonomi komuniti dan mengamalkan pelancongan lestari bertaraf antarabangsa.
Peserta dari Kemboja, Sos Solihen berkata penyertaan dalam program AYV 2025 memberi pengalaman yang menyentuh hati dan memperkukuh hubungan serantau.

“Kami disambut seperti keluarga. Pengalaman makan bersama keluarga angkat dan menyertai aktiviti kampung amat bermakna,” katanya.
Sementara itu, peserta dari Brunei, Aqilah Aziemah Junaidi berkata beliau teruja menyumbang dalam projek pemasangan panel solar dan mahu berkongsi pengalaman itu dengan komuniti di negaranya.
“Program ini memberi inspirasi bagaimana anak muda boleh menjadi agen perubahan di peringkat akar umbi,” katanya.
Bagi anak jati Sarawak, Jeremiah Lucas Jugo yang mewakili Malaysia pula menyifatkan AYV 2025 sebagai platform yang menghubungkan belia pelbagai latar belakang melalui perkhidmatan dan budaya.
“Identiti kita berbeza tetapi program ini menyatukan kita atas dasar kemanusiaan dan perpaduan ASEAN.
“Program ini secara tidak langsung turut memperkukuh imej Sabah sebagai negeri yang kaya dengan kepelbagaian budaya dan kekuatan komuniti luar bandar, selain membuktikan perkampungan kecil seperti Kobuni mampu menjadi medan kerjasama serantau,” katanya.
AYV 2025 menghimpunkan belia dari 11 negara ASEAN iaitu Malaysia, Vietnam, Myanmar, Timor-Leste, Thailand, Kemboja, Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina dan Laos.
Berdasarkan maklumat laman web Sekretariat ASEAN, belia merangkumi satu pertiga penduduk ASEAN dan dijangka mencecah lebih 220 juta menjelang 2038.
Sehubungan itu, usaha memperkasa belia menerusi program seperti AYV 2025 adalah penting bagi membina masa depan serantau yang lebih inklusif dan berdaya tahan.