Kota Kinabalu: Hasrat seorang warga China mahu mengubah nasib keluarga dengan datang ke Malaysia untuk mendapatkan pekerjaan dengan tawaran gaji lumayan berakhir dengan tragedi buruk apabila dia dijatuhkan hukuman gantung sampai mati kerana membawa dadah sebanyak empat kilogram pada tahun 2014.
Bagaimanapun, banduan akhir Jenny (bukan nama sebenar), 34, yang sudah menjalani hukuman penjara selama 10 tahun kini menarik nafas lega apabila dia berjaya dalam rayuannya dan terlepas daripada hukuman tali gantung.
Hukuman Jenny itu digantikan dengan penjara dijangka akan selesai pada tahun 2034.
Jenny yang kini fasih berbahasa Melayu berkata, dia bersyukur kerana diberi peluang dan hanya perlu menjalani 10 tahun lagi baki hukuman penjara.
“Selepas rayuan saya diterima, saya lega kerana terlepas daripada tali gantung.
“Awalnya saya diberikan hukuman gantung sampai mati, memang saya sedih dan menangis ketika itu. Tetapi selepas rayuan diterima, saya lega dan menangis sebagai tanda kesyukuran.
“Saya maklumkan kepada keluarga bahawa saya terlepas daripada hukuman gantung dan mereka berharap saya dapat kembali segera ke pangkuan mereka,” katanya.
Jenny berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menerima hadiah pertandingan melukis pada Majlis Perasmian Penutupan Program Psiko Pendidikan Kaunseling Kerjaya Penghuni Penjara Wanita Peringkat Zon Sabah Tahun 2024 di Dewan Raflesia, Penjara Wanita Kota Kinabalu (PWKK), di sini.
Diminta mengimbas kembali bagaimana boleh berada di tirai besi tersebut, Jenny berkata, sebelum ini dia bekerja di sebuah kilang di Hong Kong namun ada rakan menjanjikan pekerjaan di Malaysia.
“Saya yang mahu mengubah nasib keluarga lalu termakan pujukan rakan dan pada hari kejadian, saya bersama dua lagi rakan lain tiba di Sabah.
“Tetapi kami ditahan apabila dadah ditemui di bawah baju dalam bagasi yang dibawa. Saya tidak menyangka rakan yang menjanjikan pekerjaan telah menganiaya saya sehingga membawa kepada hukuman mati di sini,” katanya.
Bagaimanapun, Jenny sudah reda dengan perjalanan hidupnya mengambil pengajaran dengan apa yang telah berlaku.
“Malah banyak perkara yang saya pelajari di sini, dulu saya seorang tidak beragama. Tetapi di sini saya mulai menganut agama Buddha dan mempelajari mengenainya.
“Selain belajar agama, saya juga belajar mengenai kemahiran dan kini saya mahir melukis potret orang termasuk baru-baru ini saya melukis potret Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek yang berkunjung ke PWKK,” katanya.
Tambah Jenny lagi, dia juga turut diberi peluang untuk berhubung dengan keluarganya dan menyifatkan penjara di negara ini memberi layanan baik kepadanya.
“Hubungan dengan keluarga saya juga tidak pernah terputus malah setiap hujung minggu saya berpeluang untuk menghubungi mereka.
“Saya juga mempunyai ramai kawan di sini tetapi untuk memudahkan saya berkomunikasi, saya belajar memahami Bahasa Melayu.
“Pegawai penjara banyak membantu mengajar saya mempelajari Bahasa Melayu dan saya berusaha memahaminya melalui kamus selama lima tahun untuk fasih bercakap Melayu,” katanya.