Kuala Lumpur : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee mengakui bukan satu perkara yang mudah untuk meninggalkan pasukan itu selepas 36 bulan berkhidmat bersama skuad ‘The Rhinos’.
Bagaimanapun beliau berharap mampu untuk melakukan yang lebih baik apabila berkhidmat ditempat baharu.
“Bagi saya, saya inginkan satu cabaran yang lain dan untuk meninggalkan Sabah FC bukan satu perkara mudah tetapi untuk menimba ataupun mendapatkan cabaran baru adalah bagi memastikan saya mencapai apa yang saya inginkan dalam kerja kejurulatihan.
“Dimana bukan mudah untuk mendapat peluang dan saya berharap ke mana juga saya pergi selepas ini saya mampu membuktikan yang saya boleh melakukan dengan lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas tamat aksi pertama Pusingan 16 Piala Malaysia menentang PT Athletic FC 4 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur di sini semalam.
Perlawanan itu merupakan aksi terakhir beliau selepas membuat pengumuman tidak menyambung kontrak bersama Sabah FC Khamis lalu.
Kim Swee berkata, beliau juga akan memutuskan hala tujunya dalam tempoh terdekat.
“Saya akan putuskan ataupun saya akan tentukan hal tuju saya dalam masa dua atau pun tiga hari di mana saya perlu fikirkan beberapa faktor.
“Tetapi memang ada tawaran-tawaran bukan sahaja di luar negara tetapi di dalam negara dan dalam masa terdekat saya harap semua bersabar dan saya akan pasti memaklumkan pada pihak media terutamanya ke mana hal tuju saya selepas in,” katanya.
Terdahulu, Sabah FC memberi hadiah perpisahan bermakna buat pengendalinya, Datuk Ong Kim Swee apabila menewaskan PT Athletic FC 4-0 malam tadi.
Ia menjadi perlawanan terakhir Kim Swee bersama Sang Badak apabila bekas pengendali skuad kebangsaan itu tidak menyambung kontraknya yang akan berakhir bulan ini. – SABAH MEDIA / FOTO SABAH FC