Pada minggu lalu, Bank Dunia di laporkan berkata terdapat jurang yang besar di antara jumlah graduan berpendidikan tinggi dengan jumlah pekerjaan yang setanding dengan kelayakan graduan di Malaysia. Situasi ini semakin serius sehinggakan enam graduan terpaksa bersaing untuk satu jawatan.
Menurut Bank Dunia, situasi berkenaan menunjukkan:
- kekurangan peluang pekerjaan kemahiran tinggi
- ketidaksepadanan kemahiran di antara graduan dengan kehendak pasaran
Rumusan laporan Bank Dunia berkenaan selari dengan laporan Sorotan Pasaran Buruh Suku Ke-3 2024 yang di terbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dua hari lepas.
DOSM melaporkan terdapat sejumlah 1.95 juta penduduk bekerja berpendidikan tinggi tetapi melakukan pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah. Jumlah 1.95 juta ini merangkumi lebih satu pertiga (36.8%) daripada jumlah keseluruhan tenaga kerja berpendidikan tinggi.
Angka besar tersebut membuktikan isu ini adalah sangat serius. Untuk setiap 3 graduan, seorang akan tergolong di dalam kelompok tersebut.
Fakta menarik: Berdasarkan definisi DOSM, Guna Tenaga Tidak Penuh Berkaitan Kemahiran merujuk kepada tenaga kerja yang memiliki pendidikan tinggi/ tertiari tetapi bekerja di dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Dalam bahasa mudah, situasi ini di panggil underemployment.
Laporan DOSM berkenaan turut melaporkan bahawa Malaysia telah merekodkan kadar pengangguran 3.2%. Malah, kadar pengangguran negara telah merekodkan trend menurun dan stabil tanpa sebarang lonjakan.
Secara umumnya, kadar pengangguran di bawah 4% di terima-pakai di seluruh dunia sebagai guna tenaga penuh/ full employment.
Dengan kadar pengangguran menurun dan rendah yang di terima-pakai sebagai full employment, ini bermakna negara menyediakan peluang pekerjaan yang ‘mencukupi’ untuk keseluruhan tenaga kerja yang bekerja. Namun begitu, realitinya jenis pekerjaan sediada tidak ‘mencukupi’ untuk graduan berpendidikan serta berkemahiran tinggi.
Menurut laporan DOSM berkenaan, sepanjang Suku Ke-3 2024 (Julai – September 2024), majoriti pekerjaan yang di wujudkan merangkumi separuh mahir (63.3%) dan kemahiran rendah (10.3%). Sebaliknya, jumlah pekerjaan mahir yang di wujudkan hanyalah 26.4%.
Malah, peratusan pewujudan pekerjaan mahir telah menurun 9.1% berbanding setahun yang lepas. Manakala pekerjaan separuh mahir telah meningkat 3.5%.
Serupa juga, sepanjang Suku Pertama dan Ke-2 2024 (Januari – Jun 2024), majoriti pekerjaan yang di wujudkan merangkumi separuh mahir dan berkemahiran rendah.
Suku 1 2024 | Suku 2 2024 | Suku 3 2024 | |
Mahir | 27.5 % | 26.7 % | 26.4 % |
8.9 ribu | 8.5 ribu | 8.39 ribu | |
Separuh Mahir | 61.9 % | 62.9 % | 63.3 % |
19.9 ribu | 20.02 ribu | 20.13 ribu | |
Berkemahiran Rendah | 10.5 % | 10.4 % | 10.3 % |
3.4 ribu | 3.33 ribu | 3.27 ribu |
Sebenarnya, isu underemployment ini bukanlah satu perkara yang baru. Ianya telah berlanjutan untuk tempoh yang lama. Pada suatu ketika, di antara tahun 2015 – 2021, isu ini telah merekodkan trend peningkatan, sebelum mula menurun sehingga sekarang.
Walaupun peratusan sudah mula menurun, jumlah tenaga kerja yang terlibat terus meningkat tinggi.
Ini tidaklah mengejutkan memandangkan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) tempatan melahirkan jumlah graduan yang besar setiap tahun. Menurut hasil kajian Pusat Kajian Pasaran Buruh Masa Hadapan/ Centre for Future Labour Market Studies (EU-ERA) yang di laporkan pada tahun 2023, setiap tahun sekitar 224,000 graduan di lahirkan oleh IPT tempatan, berbanding sekitar 127,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi.
Di samping itu, hasil kajian EU-ERA menunjukkan kadar underemployment negara adalah lebih kurang sama dengan purata negara-negara OECD (Organisation for Economic Co-Operation and Development), iaitu 34.4%.
Malah, sesetengah negara maju telah merekodkan kadar underemployment/ underutilisation yang tinggi melebihi Malaysia, seperti: Kanada (38.2%), Jerman (39.9%) dan Great Britain (40.5%).
Ini menunjukkan underemployment adalah isu global, yang di hadapi oleh banyak negara di seluruh dunia.
Isu underemployment turut menonjolkan hakikat sebenar berkaitan pelaburan yang banyak di terima oleh Malaysia:
- ianya lebih menjurus kepada aktiviti nilai-tambah rendah/ low value-added yang tidak memerlukan kemahiran tinggi
- meskipun melibatkan industri berteknologi tinggi/ high-tech industry, ianya tidak mewujudkan banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi
- pelaburan masakini tidak lagi mewujudkan banyak peluang pekerjaan kerana penggunaan teknologi dan automasi
Sebagai contoh. Untuk 6 bulan pertama tahun 2024 (Januari – Jun 2024), jumlah pelaburan di luluskan/ approved investment adalah RM 160 billion, dengan hampir 80,000 peluang pekerjaan baru.
Walaupun jumlah pelaburan yang begitu besar, jumlah peluang pekerjaan yang dapat di wujudkan hanyalah sedikit sahaja. Secara purata, setiap pekerjaan di wujudkan dengan pelaburan sebanyak RM 2.02 juta.
Selain itu, Perdana Menteri Malaysia telah memaklumkan bahawa Malaysia telah meluluskan pelaburan untuk Pusat Data dan Perkhidmatan Awan berjumlah RM 114.7 billion, untuk tempoh masa 2021 – 2023.
Pelaburan besar ini menyediakan 2,325 peluang pekerjaan baru seperti saintis data, penganalisis keselamatan siber dan jurutera rangkaian. Secara purata, setiap pekerjaan itu di wujudkan dengan pelaburan sebanyak RM 49.3 juta.
Perkara ini serentak menimbulkan cabaran dan dilemma kepada negara. Sasaran negara untuk memperolehi lebih banyak pelaburan berasaskan teknologi dan nilai-tambah tinggi sudah pasti tidak dapat mewujudkan jumlah peluang pekerjaan berkemahiran tinggi yang mencukupi untuk rakyat Malaysia.
Justeru itu, Kerajaan Malaysia perlu memperolehi jumlah pelaburan yang sangat besar ratusan billion setiap tahun agar dapat mewujudkan peluang pekerjaan yang mencukupi. Ini adalah satu cabaran yang sangat hebat, memandangkan persaingan sengit dari negara-negara jiran yang juga dahagakan pelaburan.
Akhirnya, isu underemployment ini telah menyebabkan ramai graduan kecewa kerana tidak mendapat pekerjaan yang setimpal dengan kelayakan yang di miliki. Dan sengsara kerana memperolehi pendapatan yang rendah serta sukar menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Termasuklah keupayaan membayar balik pinjaman pelajaran.
Beberapa hari lepas, Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia memaklumkan bahawa, sehingga 31 Ogos 2024, seramai 415,109 peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) tidak pernah membuat bayaran balik pinjaman pembiayaan pelajaran. Daripada jumlah tersebut, 189,580 (45.7%) peminjam terdiri daripada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Ini bermakna lebih 45% peminjam PTPTN sememangnya tidak memiliki keupayaan untuk membayar balik pinjaman.
Fakta menarik: Sumbangan Tunai Rahmah (STR) adalah satu inisiatif oleh Kerajaan Malaysia bagi membantu golongan berpendapatan rendah menangani cabaran kos sara hidup. Pada tahun 2023, pelaksanaan STR melibatkan peruntukkan RM 8 billion, dengan 8.7 juta penerima STR di seluruh negara.
Tambahan lagi, isu underemployment ini juga telah menghasilkan kelompok golongan muda yang tidak berminat untuk melanjutkan pengajian tinggi. Bahkan ada yang memperlekehkan kelayakan pengajian tinggi.
Golongan muda ini berpendapat apa guna-nya belajar tinggi-tinggi tetapi akhirnya dapat pekerjaan dengan gaji yang rendah, dan terpaksa pula menanggung bebanan hutang pinjaman pelajaran.
Walaupun ini adalah pemikiran yang dangkal dan tidak berpandangan jauh, tetapi inilah hakikat sebenar yang di hadapi oleh jutaan graduan yang merana kerana isu underemployment di dalam negara ketika ini.
Data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menunjukkan ratusan ribu pelajar lepasan SPM telah tidak melanjutkan pengajian tinggi. Sebagai contoh, hampir 50% (180,680) pelajar lepasan SPM 2021 telah tidak melanjutkan pengajian tinggi:
- lepasan SPM 2021 (180,680 orang: 48.74%)
- lepasan SPM 2020 (115,939 orang: 35.16%)
Angka besar ini amatlah membimbangkan dan sudah pasti akan menjejaskan agenda pembangunan negara.