Kota Kinabalu : Kerajaan Persekutuan akan membuat keputusan berhubung cadangan penyelesaian berkaitan hasil Sabah sebanyak 40 peratus yang dikemukakan Kerajaan Sabah pada mesyuarat Majlis Tindakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang dijadualkan pada September ini.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, tuntutan Sabah itu adalah termaktub dalam Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan dan akan dikemukakan kepada Perdana Menteri pada mesyuarat berkenaan.
Katanya, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas MA63 yang berlangsung pada Isnin itu hanya melibatkan negeri Sabah selain memberi tumpuan kepada tuntutan perlembagaan berkaitan hasil negeri.

“Mesyuarat hari ini merupakan lanjutan kepada mesyuarat Majlis Tindakan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri sebelum ini, yang memutuskan supaya satu mesyuarat teknikal khas diadakan khusus membincangkan tuntutan Sabah mengikut Artikel 112C dan hubung kaitnya dengan Artikel 112D Perlembagaan.
“Kita telah mendengar pembentangan serta cadangan penyelesaian daripada Kerajaan Negeri Sabah. Cadangan tersebut turut menerima maklum balas daripada Kementerian Kewangan dan Jabatan Peguam Negara di peringkat Persekutuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Khas MA63 di Menara Kinabalu di sini pada hari ini.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Menteri Kewangan Datuk Seri Masidi Manjun.
Fadillah berkata, mesyuarat teknikal ini diadakan bagi menyusun semula cadangan penyelesaian, termasuk cadangan interim, sebelum dibentang kepada Perdana Menteri untuk diputuskan secara rasmi dalam mesyuarat Majlis MA63 nanti.
“Kita memahami ada isu undang-undang yang sedang berjalan, termasuk kes yang difailkan Majlis Peguam Negeri Sabah.
“Maka, kita perlu berhati-hati, tetapi matlamat kita adalah untuk mencari penyelesaian secara bersama dan di luar bidang mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai keputusan muktamad sama ada akan dicapai sebelum Hari Malaysia, Fadillah berkata, keputusan hanya akan dibuat dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri nanti.
“Tiada tarikh khusus diumumkan sebelum ini tapi, mesyuarat ditetapkan pada 12 September dan akan diadakan di Kuala Lumpur,” katanya. – SABAH MEDIA