KOTA KINABALU, — Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) hari ini mengumumkan pembayaran dividen sebanyak RM25 juta kepada pemegang saham bagi tahun kewangan berakhir 2024.
Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof berkata, pembayaran itu mencerminkan prestasi kewangan kukuh syarikat serta komitmen berterusan terhadap pertumbuhan dan tadbir urus baik.
“Daripada jumlah keseluruhan dividen itu, Sabah Economic Development Corporation (SEDCO) dan Sabah Ports Authority (SPA) yang mewakili kepentingan Kerajaan Negeri Sabah menerima sebanyak RM17.5 juta, manakala Tasek Corporation Berhad menerima RM7.5 juta,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Majlis penyerahan dividen berkenaan diadakan semasa Mesyuarat Lembaga Pengarah kedua syarikat bagi tahun ini, yang turut dihadiri Pengerusi CIS, Datuk Japlin Akim, bersama ahli Lembaga Pengarah lain.
Menurut Sumardi, pembayaran dividen itu disokong oleh keuntungan bersih diaudit sebanyak RM36.7 juta pada 2024, selain keuntungan bersih RM33 juta bagi separuh pertama 2025.
Beliau berkata, antara langkah strategik yang menyumbang kepada kejayaan itu termasuk pengukuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi tender dan perolehan, pelaksanaan tadbir urus lebih telus dengan penubuhan jawatankuasa tender bebas, serta pengambilan profesional muda bagi memperkukuh pasukan pengurusan.
“CIS juga melaksanakan naik taraf utama loji serta memperbaiki protokol penyelenggaraan, sekali gus mengurangkan masa henti operasi dan memastikan bekalan simen yang konsisten untuk memenuhi permintaan pasaran,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kumpulan SEDCO yang baharu dilantik, Datuk Ar. James Wong, bersama Sumardi memberi jaminan bahawa CIS akan terus mengamalkan tadbir urus korporat yang kukuh, telus dan bertanggungjawab.
“Melihat ke hadapan, kami yakin dapat mengekalkan keuntungan serta terus memberikan nilai tambah kepada pemegang saham, khususnya kepada Negeri Sabah,” tambahnya.