Oleh Normimie Diun
PENAMPANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menganjurkan Festival Kepenggunaan 2025 (CONFEST 2025) selama tiga hari bermula 11 hingga 13 Julai di ITCC, Penampang, sebagai sebahagian usaha memperkukuh kesedaran dan aktivisme kepenggunaan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda.
CONFEST 2025 yang diadakan sempena sambutan Hari Pengguna Kebangsaan bertemakan “Semarak Konsumerisme”, memberi fokus kepada pemupukan kesedaran sejak peringkat awal melalui penglibatan pelajar sekolah rendah, sekolah menengah dan institusi pengajian tinggi dari seluruh negara.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata generasi muda dipilih sebagai fokus utama kerana mereka perlu didedahkan awal dengan hak, tanggungjawab serta peranan sebagai pengguna berdaya upaya.
“CONFEST 2025 bukan sekadar platform pertandingan seperti busking dan coral speaking, tetapi juga medan untuk mengumpul pandangan dan aspirasi anak muda sebagai input kepada penggubalan Dasar Pengguna Negara 2.0 (DPN 2.0),” katanya pada sidang media semasa Majlis Perasmian CONFEST 2025 di sini, hari ini.
Menurut Armizan, DPN 2.0 sedang dimuktamadkan dan disasarkan untuk dibentangkan ke Jemaah Menteri pada Oktober ini sebelum dilaksanakan bermula tahun 2026 hingga 2030. Dasar ini akan menjadi dokumen rujukan utama kepada semua pihak berkepentingan dalam ekosistem pengguna negara.
“DPN 2.0 akan berteraskan empat komponen utama iaitu pemaknaan lapan hak pengguna sejagat, perincian peranan pemegang taruh dalam melindungi hak pengguna, pelaksanaan dasar yang responsif terhadap cabaran semasa termasuk ledakan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI), serta tumpuan terhadap isu kos sara hidup rakyat,” jelasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pelaksanaan DPN 2.0 tidak boleh bergantung kepada kerajaan semata-mata. Justeru, kementerian telah melancarkan inisiatif Skuad Kita Pengguna (SKIP) sebagai lonjakan kepada partisipasi awam.
“SKIP disasarkan untuk mengumpulkan seramai 25,000 ahli menjelang 31 Disember 2025, yang akan berperanan sebagai jentera pelaksana dasar bermula 1 Januari 2026.
“Skuad ini bukan hanya mewakili suara rakyat, tetapi akan menjadi sebahagian daripada pasukan pelaksana dasar yang aktif dalam mendidik, menyampaikan maklumat, serta memelihara kepentingan pengguna di seluruh negara,” katanya.
Tambah Armizan lagi, CONFEST 2025 juga berperanan sebagai sesi libat urus untuk menyelaraskan hala tuju DPN 2.0 dengan aspirasi belia serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang turut memberi tumpuan kepada isu kos sara hidup bermula tahun 2026.
Seramai 900 peserta hadir menyertai program ini, mewakili zon utara, tengah, selatan, dan Borneo yang telah memenangi saringan peringkat negeri dan zon masing-masing dalam pelbagai acara bertemakan kepenggunaan.