Oleh Sitti Nor Azizah Talata
TAWAU: Dua lelaki ditahan polis selepas bertindak nekad merempuh kenderaan pasukan keselamatan serta beberapa kenderaan awam dalam insiden di persimpangan lampu isyarat Batu 3, Jalan Apas, semalam.
Kejadian sekitar jam 1.45 petang itu berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND), IPD Tawau sedang menjalankan serbuan Op Tapis ke atas sebuah Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Champin Piuh, suspek bertindak agresif apabila mereka bertindak merempuh kenderaan polis dan melanggar beberapa kenderaan milik orang awam dalam usaha meloloskan diri.
“Suspek terus memandu secara melulu menuju ke arah lampu isyarat Jalan Apas dan melanggar lebih banyak kenderaan awam sepanjang laluan sebelum berjaya ditahan selepas polis mengepung kenderaan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rakaman insiden tersebut yang dimuat naik ke media sosial tular dalam tempoh singkat dan mengundang pelbagai reaksi orang ramai yang mengecam tindakan berisiko tinggi suspek.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut menemui dua paket dadah disyaki syabu seberat 5.13 gram dalam sebuah beg kain dalam kenderaan terbabit, selain kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
“Suspek terdiri daripada seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun dan seorang warga asing berusia 18 tahun. Kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952,” ujarnya.
Champin menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang bersikap agresif dan membahayakan keselamatan orang awam.
Beliau turut menyeru masyarakat agar menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau dadah kepada polis menerusi talian hotline IPD Tawau 089-772121 atau aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP).