KOTA KINABALU: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) membidas Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menyifatkan Belanjawan Sabah 2025 sebagai ‘gula-gula’ untuk menghadapi pilihan raya.
Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Likas, Mohammad Bahrin Abd Karim berkata, dakwaan Shafie sangat tidak matang dan tidak berasas apabila Kerajaan Negeri berjaya membentangkan Belanjawan Sabah 2025 sebanyak RM6.421 bilion berbanding RM5.7 bilion pada tahun ini.
Katanya, Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berjaya membentangkan Belanjawan Sabah 2025 yang membolehkan Sabah membangun secara lestari, meningkatkan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Beliau berkata, hanya disebabkan Sabah menuju ambang Pilihan Raya, maka Shafie dan pemimpin Warisan sengaja mengaitkan Belanjawan Sabah 2025 sebagai belanjawan pilihan raya.
“Sedangkan semasa Warisan menerajui kerajaan negeri, Shafie selaku Ketua Menteri dan Menteri Kewangan gagal membentangkan belanjawan yang sebaik Belanjawan Kerajaan GRS-PH Plus”, katanya ketika membidas kenyataan Ketua Pembangkang itu.
Shafie semasa membahas Belanjawan Sabah 2025 pada Isnin lalu mendakwa tiada langsung dinyatakan untuk menoktahkan miskin tegar di Sabah.
“Kalau kita lihat bukan lagi semacam (gula-gula untuk pilihan raya), ini adalah ‘election budget’. Tidak ada langsung yang dinyatakan mereka telah menoktahkan miskin tegar di Sabah ini dengan memberi RM300 setiap bulan atau dari segi penyediaan rumah mungkin hanya berapa puluh rumah yang ada, (tetapi) banyak miskin yang tegar di situ”, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu.
Mohammad Bahrin berkata, Shafie lupa bahawa Masidi telah memaklumkan kerajaan Sabah memperuntukkan sebanyak RM488.5 juta bagi melaksanakan pelbagai program pembasmian kemiskinan di negeri ini menerusi Belanjawan 2025.
Menurutnya, selain bantuan khas RM300 sebulan selama setahun untuk golongan miskin dan miskin tegar melibatkan peruntukan berjumlah RM358.5 juta, banyak inisiatif lain disediakan kerajaan untuk membantu rakyat negeri ini.
Katanya, antara program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan pada tahun depan ialah pembinaan sebanyak 3,000 unit Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan peruntukan RM250 juta di semua 73 kawasan DUN. Setakat Oktober 2024, sebanyak 4,482 buah Rumah Mesra SMJ sudah dibina di seluruh negeri.
Mohammad Bahrin menarik perhatian, dalam belanjawan kali ini juga, buat pertama kali bantuan one-off sebanyak RM5,000 disediakan kerajaan negeri sebagai tanda keprihatinan kepada peniaga gerai kecil tepi jalan yang mempunyai lesen perniagaan sah.
“Selain itu, sebanyak RM214 juta diperuntukkan untuk kerja-kerja di bawah peruntukan khas dan projek pembangunan kecil bagi pembinaan serta penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam di seluruh Sabah,” katanya.
Sehubungan itu, Bahrin mengingatkan rakyat agar tidak terpengaruh dengan kempen parti pembangkang yang menafikan usaha dan komitmen Kerajaan GRS-PH Plus dalam pembasmian kemiskinan demi meningkatkan kesejahteraan rakyat.