TAWAU : Polis menahan dua suspek selepas dipercayai memukul serta menendang pemilik premis akibat tidak berpuas hati berikutan kontrak sewa tidak disambung, di Taman Semarak, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian dilaporkan berlaku pada jam 12.30 tengah hari ketika mangsa, seorang wanita berusia 36 tahun, berada di dalam premis miliknya sebelum didatangi suspek bersama empat lelaki.
Katanya, suspek bertindak menyerang mangsa termasuk memukul dan menendang mangsa sekali gus mengugut membakar premis berkenaan.
“Suspek juga menyatakan tidak akan melepaskan mangsa sekiranya terserempak di kawasan luarnya.
“Siasatan awal mendapati insiden itu berpunca daripada perselisihan faham berkaitan isu penyambungan kontrak sewa premis yang dijangka tamat Ogos ini,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Jasmin berkata, pihaknya berdasarkan laporan polis dibuat mangsa berjaya menahan dua suspek termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun, pada jam 4.30 petang hari yang sama.
“Suspek wanita berusia 36 tahun tidak mempunyai rekod jenayah, manakala suspek lelaki memiliki empat rekod lampau membabitkan kes dadah dan khianat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan,” katanya.
Jasmin turut menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri dalam menyelesaikan pertikaian, sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.