BEAUFORT: Ketua Pemuda Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Beaufort, Mohd Shahril Osin menolak dakwaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee bahawa GRS berada dalam tekanan politik untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.
Beliau menyifatkan kenyataan Ronald sebagai karut, tidak berasas dan berniat mengelirukan rakyat, khususnya pengundi muda di Sabah.
“Tuduhan Ronald Kiandee bahawa GRS ‘dipaksa’ untuk bergabung adalah tidak benar dan berniat jahat. GRS tidak pernah tunduk kepada mana-mana tekanan politik dari luar.
“Segala keputusan dibuat secara konsensus dalam Majlis Tertinggi GRS yang menghimpunkan pelbagai parti tempatan dengan satu matlamat menjaga kepentingan rakyat Sabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahril berkata Ronald seharusnya menghormati proses dalaman GRS dan tidak menimbulkan spekulasi yang hanya memecahbelahkan perpaduan politik di negeri ini.
“GRS tidak terikat dengan kuasa luar seperti didakwa. Sebaliknya, kami sentiasa menilai pilihan terbaik untuk rakyat Sabah, termasuk mengambil kira kehendak akar umbi yang mahukan kestabilan dan kesinambungan pembangunan.
“Pemuda GRS kekal berpendirian tegas untuk menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang sentiasa terbuka mendengar suara rakyat sebelum membuat sebarang keputusan besar,” katanya.
Shahril turut menegaskan bahawa segala tohmahan mengenai konvensyen GRS adalah cubaan murahan untuk mencetuskan persepsi negatif terhadap kekuatan sebenar gabungan itu.
“Konvensyen GRS baru-baru ini membuktikan bahawa sokongan akar umbi kepada gabungan ini masih kukuh. Kehadiran ribuan ahli PBS dan STAR bukan satu paksaan tetapi manifestasi keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negeri,” ujarnya.
Tegasnya, GRS kekal fokus untuk memperjuangkan hak Sabah termasuk tuntutan 40 peratus hasil cukai dikembalikan kepada negeri ini sebagaimana termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963.
“Kami tidak akan terganggu dengan serangan politik yang tidak membina. Tugas kami adalah untuk membela nasib rakyat Sabah, bukan bermain sentimen dan retorik politik sempit,” tegasnya.
Shahril berkata, cubaan Ronald membangkitkan isu dua ADUN GRS yang didakwa di mahkamah hanyalah satu permainan persepsi murahan yang berniat memfitnah dan menimbulkan keraguan dalam kalangan rakyat.
“Kita ingin ingatkan Ronald sistem perundangan negara tidak boleh dijadikan alat politik. Biarkan proses mahkamah berjalan. Tapi malangnya, PN cuba ulang drama lama dengan menjaja isu ini seperti modal utama kempen.
“PN patut cermin diri. Ramai juga pemimpin mereka yang berdepan kes mahkamah, tetapi tetap diletakkan sebagai calon malah dipuja seperti wira,” katanya.
Shahril turut menegaskan bahawa tidak seperti PN, GRS merupakan gabungan parti-parti tempatan Sabah yang meletakkan kepentingan negeri ini sebagai keutamaan, bukan akur pada telunjuk pemimpin di Kuala Lumpur.
“GRS tidak tunduk kepada kuasa luar. Setiap keputusan kami berpaksikan kehendak rakyat Sabah, bukan dipaksakan oleh mana-mana ‘big boss’ dari Semenanjung.
“Ronald dan PN hanya tahu menyalak dari luar pagar. Sedangkan GRS sedang bekerja keras membina dasar, membangunkan negeri, memperjuangkan hak hasil Sabah, dan mengukuhkan suara rakyat,” katanya.