Putrajaya: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor hari ini mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di sini, pada Isnin.
Pada pertemuan itu, kedua-dua pemimpin itu antara lain membincangkan isu dan perkembangan semasa di Sabah.
Pertemuan itu diadakan sejurus selepas selesai Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri di Pejabat Perdana Menteri, yang dipengeruskan oleh Perdana Menteri.

Hajiji turut menyampaikan buku Laporan Tahunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2024, yang melaporkan kejayaan inisiatif-inisiatif hala tuju itu sejak 2021 hingga kini kepada Perdana Menteri.
Terdahulu, Hajiji menghadiri Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri Ke-146 di Bilik Mesyuarat Perdana, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra di sini.
Beliau diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong.
Dalam mesyuarat itu, Safar turut memberi taklimat berkaitan Ekonomi Biru kepada menteri besar dan ketua menteri.
Pada Rabu dan Khamis, Hajiji akan mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman sempena Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-269 di Istana Negara.