KOTA KINABALU : Seramai 35 orang Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) membabitkan warga China, Pakistan serta Filipina, ditahan dalam operasi di sekitar kawasan Inanam dan Luyang di sini semalam.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff, berkata jumlah tersebut membabitkan 17 orang warga China, manakala enam lelaki warganegara Pakistan dan 12 orang warga Filipina.
Katanya, berdasarkan maklumat diperoleh pasukan operasi menyerbu beberapa premis perniagaan, rumah kediaman serta lokasi tumpuan warga asing.
“Hasil serbuan telah membawa kepada penahanan seramai 35 PATI yang disyaki terlibat dalam pelbagai kesalahan imigresen.
“Kesemua yang ditahan dipercayai melanggar peruntukan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit sah untuk berada di Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sitti Saleha berkata, mereka juga boleh disabitkan atas kesalahan dibawah Seksyen 15(1)(c) Akta yang sama kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
“Ini termasuk Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang telah ditetapkan.
“Semua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk melalui proses dokumentasi dan siasatan lanjut,” jelas Sitti Saleha.
Menurutnya, pihaknya akan berusaha meningkatkan operasi bagi membanteras kehadiran PATI pada setiap masa di negeri ini.
“Kita menyeru orang awam supaya menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti PATI atau mana-mana premis yang menggaji warga asing tanpa dokumen untuk tindakan sewajarnya.
“Operasi penguatkuasaan mengesan, menangkap, mendakwa dan memindah warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.