KOTA KINABALU, 21 Okt (Bernama) — Jabatan Imigresen menahan 64 pendatang tanpa izin dalam operasi penguatkuasaan di sekitar Beaufort dan Sipitang awal pagi tadi.
Pengarah Jabatan Imigresen Sabah Datuk Sh Sitti Saleha Habib Yussof berkata kesemua yang ditahan berumur antara satu bulan hingga 79 tahun yang terdiri daripada 18 lelaki, 17 wanita dan 29 kanak-kanak.
“Operasi berkenaan bermula pada 12.05 tengah malam hingga 6.50 pagi tadi. Kesemua yang ditahan hasil pemeriksaan terhadap 215 warga asing oleh 39 pegawai Imigresen.
“Sebanyak 63 individu ditahan adalah warganegara Filipina manakala seorang lagi warga Indonesia. Mereka didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata kesemua pendatang tanpa izin itu akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.