SANDAKAN: Ahli Parlimen Libaran, Datuk Suhaimi Hj Nasir, menegaskan bahawa usaha kerajaan negeri dalam menangani isu kemiskinan dan peningkatan kos sara hidup mesti dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak hanya menguntungkan golongan tertentu sahaja.
Dalam satu pertanyaan lisan yang dikemukakan beliau semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Suhaimi meminta penjelasan daripada YB Menteri Pembangunan Luar Bandar berhubung perancangan jangka pendek dan panjang Kerajaan Negeri dalam menangani masalah tersebut, khususnya di kawasan Libaran.
Menurut Menteri, pelbagai inisiatif sedang dijalankan termasuk memperkasa keusahawanan, pembinaan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya, menaik taraf infrastruktur luar bandar, pembangunan pusat komuniti, penyediaan latihan kemahiran, serta bantuan kewangan seperti STR, SYUKUR dan SARA bagi meringankan beban rakyat berpendapatan rendah.
Namun, Suhaimi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sabah menyuarakan kebimbangan bahawa pelaksanaan inisiatif tersebut masih belum benar-benar sampai kepada golongan sasar di peringkat akar umbi, terutamanya masyarakat luar bandar yang berhadapan dengan pelbagai kesukaran seperti tiada peluang pekerjaan tetap, rumah yang uzur, kemudahan asas yang daif serta gangguan bekalan air dan elektrik yang berulang.
“Saya menyambut baik segala bentuk perancangan dan inisiatif ini, tetapi ia mesti benar-benar menyeluruh dan adil. Jangan biarkan hanya segelintir kelompok mendapat manfaat, sedangkan ramai lagi rakyat di bawah masih terus hidup dalam kesempitan,” tegas beliau.
Beliau turut menggesa agar agensi-agensi pelaksana kerajaan memainkan peranan secara telus dan bertanggungjawab supaya semua bantuan dan pembangunan yang diumumkan benar-benar bersasar, menepati keperluan sebenar rakyat dan tidak tercicir daripada perhatian.
Sebagai wakil rakyat yang memegang dua peranan penting di peringkat Parlimen dan DUN, Datuk Suhaimi menegaskan bahawa beliau akan terus memantau pelaksanaan program serta memperjuangkan nasib rakyat agar kesejahteraan tidak hanya tinggal sebagai naratif politik semata-mata, tetapi menjadi realiti hidup rakyat Sabah, khususnya di kawasan Libaran.