KOTA KINABALU: Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) Daerah Kota Marudu Jimson Majemal mendesak Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBS) mempercepatkan pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu yang sekian lama tertangguh.
Menurutny puluhan ribuan rakyat Kota Marudu menaruh harapan tinggi projek itu siap mengikut jadual asal pada September lepas.
Bagaimanapun, katanya rata-rata rakyat di daerah itu, khususnya golongan belia kecewa apabila mengetahui bahawa projek Kompleks Sukan Kota Marudu itu hanya berada pada tahap sekitar 50 peratus siap.
“Sebagai salah seorang penggiat sukan di daerah Kota Marudu, saya terpanggil berjuang bersama rakyat di sini untuk membuat rayuan , dan berharap agar KBS dapat mempercepatkan pembinaan kemudahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jimson yang juga mantan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu
berkata Kompleks Sukan Kota Mqrudu merupakan satu-satunya kemudahan sukan di daerah itu yang amat dinantikan oleh penduduk tempatan.
Menurutnya kemudahan Kompleks Sukan Kota Marudu itu juga dijangka dapat memenuhi keperluan sekolah terutama dalam Kejohanan Olahraga melibatkan sembilan sekolah menengah termasuk SMA Goshen, Sekolah Model Khas Komprehensif 9 (K9) Magandai dan 33 sekolah rendah dan 5 buah sekolah swasta.
Beliau juga menyatakan kekecewaan melihat projek yang sepatutnya memberi manfaat kepada penduduk kini hanya terbengkalai.
“Adalah tidak indah dipandang mata melihat papan tanda projek tetapi projek tidak dilaksanakan,” katanya.
Jimson yakin dengan peruntukan besar lebih RM6 bilion daripada kerajaan Persekutuan untuk perbelanjaan pembangunan di Sabah dan juga Bajet Sabah 2025 melebihi RM6 bilion, pembinaan Kompleks Sukan Kota Marudu tidak menghadapi masalah untuk disiapkan secepat mungkin.