KOTA KINABALU: Dato’ Haji Mohammad Yusof Haji Apdal yang akan bertanding jawatan Yang Dipertua USIA semasa Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan USIA pada awal Disember berkata terdapat jurang antara Kepimpinan USIA yang ada sekarang dengan Bahagian-bahagian di seluruh Sabah khususnya dalam pelaksanaan dakwah.
Oleh itu, katanya jika ingin melihat dakwah USIA dapat diperkasakan, maka jurang yang wujud diantara Kepimpinan di peringkat Pusat dan Bahagian-bahagian, sejak beberapa tahun lalu, mesti diperbaiki.
“Usaha untuk memperbaiki jurang yang boleh merugikan USIA itu, adalah antara sebab beliau menerima pencalonan dari Bahagian-bahagian untuk menerajui USIA,” katanya.
Yusof berkata demikian ketika menemui Ketua-ketua Bahagian dan Para Perwakilan di empat Bahagian USIA Pedalaman. Bahagian-bahagian itu ialah Keningau, Tambunan, Pensiangan dan Tenom baru-baru ini.
Yusof menjelaskan Dakwah USIA mesti diperkasakan melalui Bahagian-bahagian USIA.
“Peruntukan secukupnya mesti disediakan supaya Bahagian-bahagian boleh melaksanakan kegiatan dakwah.
“Amalan yang ada sekarang iaitu menyalurkan peruntukan ala kadar, tidak membolehkan bahagian merancang program-program dakwah dengan konsisten,” katanya.
Yusof berjanji mahu mengembalikan peranan USIA sebagai pelaksana dakwah yang tersohor, sama seperti peranan Pertubuhan itu diawal penubuhannya, 55 tahun lalu.
Calon Yang Dipertua USIA itu turut menyuarakan keperluan untuk menyediakan pejabat di setiap Bahagian.
“Bagaimana USIA hendak melaksanakan dakwah jika tidak mempunyai Pejabat diperingkat Bahagian” soalnya dengan tegas.
Katanya jika diberi mandat untuk menerajui USIA bagi penggal akan datang, dua perkara penting akan diberikan perhatian iaitu DAKWAH dan OPERASI di setiap Bahagian.
Yusof juga menepis dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan beliau bertanding jawatan teringgi dalam USIA kerana hendakkan kuasa.
Selanjutnya Yusof berkata selaku seorang Timbalan Menteri dalam Kabinet Pusat, memberikan ruang terbaik kepada beliau untuk berkomunikasi dan merancang kegiatan-kegiatan dakwah USIA dengan para pemimpin Kerajaan Persekutuan dibawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau juga menegaskan bahawa USIA akan terus menjalin kerjasama erat dengan kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.
“Kerjasama rapat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan mendatangkan manfaat kepada USIA.
“Impian Ahli-ahli USIA untuk melihat Pertubuhan unggul itu kembali menjadi pelopor dakwa terkemuka di negeri ini, akan dapat direalisasikan” tegasnya.
Perhimpunan Agung Tahunan Perwakilan ke 38 USIA akan diadakan pada 6 dan 7 Disember untuk memilih jawatan-jawatan penting termasuk Pengerusi Tetap, Timbalan Pengerusi Tetap, Yang Dipertua, Timbalan Yang Dipertua, Naib-naib Yang Dipertua, Ketua Belia, Ketua Wanita dan Ahli-ahli Majlis Tertinggi USIA.
Pada pemilihan kali ini, Yusof akan bergandingan dgn Calon Timbalan Yang Dipertua, Haji Madaile Haji Basri.
Madaile adalah penyandang jawatan Naib Yang Dipertua Kanan USIA.