KOTA KINABALU, 9 Okt (Bernama) — Pelajar Kolej Vokasional Keningau, Elisha Carmen Erick memenangi anugerah emas untuk penyertaan eseinya bertajuk ‘A Letter to the Prime Minister’ dalam pertandingan The Queen’s Commonwealth Essay Competition, baru-baru ini.
Pengarah Kolej Vokasional Keningau, Nordin Akup dalam kenyataan hari ini berkata pelajar tahun dua dalam bidang teknologi pembinaan itu menerima keputusan dan sijil pencapaian tersebut melalui hantaran e-mel pada 26 Sept lepas.
Pada pertandingan itu, Nordin berkata Elisha menulis esei berbentuk surat merayu pemimpin negara agar menyelesaikan isu kanak-kanak tanpa kewarganegaraan yang merupakan isu semakin merisaukan terutama di Sabah.
Beliau berkata Elisha turut mengulas situasi itu yang menyebabkan kanak-kanak tersebut mengalami kesukaran mendapat pendidikan formal, sekali gus mengurangkan peluang mereka untuk mengubah kehidupuan dari segi sosial dan ekonomi.
Elisha melahirkan perasaan gembira dengan pencapaian itu kerana beliau adalah seorang yang gemar meluahkan pendapat melalui penulisan dan berjaya menerbitkan rencana editorial pertamanya di sebuah majalah pendidikan beberapa bulan lepas.
Sementara itu, Nordin turut mengucapkan tahniah kepada Elisha dan berharap pencapaian tersebut akan menjadi pembakar semangat kepada pelajar lain untuk mendalami bidang penulisan dan kewartawanan dengan lebih gigih serta dapat membantu mereka mengasah kemahiran berfikir serta kemahiran menggunakan bahasa yang dipelajari.
The Queen’s Commonwealth Essay Competition adalah pertandingan penulisan esei Bahasa Inggeris dianjurkan setiap tahun oleh Royal Commonwealth Society, United Kingdom, sejak 1883 dan ia terbuka untuk semua pelajar sekolah di seluruh dunia.
Setiap esei yang disertakan akan dinilai dan dianugerahkan dengan anugerah emas, perak dan gangsa serta sijil penyertaan berdasarkan julat pemarkahan ditetapkan.