KOTA KINABALU: Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah akan menganjurkan Karnival Dusunik Sabah peringkat Keningau di Kampung Apin-Apin pada Ogos ini dalam usaha memperkasa dan memartabatkan warisan budaya masyarakat Dusunik.
Presidennya, Datuk Lawrence Gimbang berkata karnival berkenaan bertujuan menyebarluas penggunaan bahasa Dusunik serta memelihara kelangsungan budaya tempatan yang semakin dilupakan.
“Melalui karnival ini, kita mahu menghidupkan semula semangat cinta akan bahasa ibunda, di samping memperkenalkan keindahan budaya Dusunik kepada masyarakat umum,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat persatuan itu di sini.
Katanya, antara pengisian utama karnival termasuk pertandingan pidato dan puisi dalam bahasa Dusunik, pertandingan pakaian kebudayaan serta bengkel bahasa Dusunik.
Tambahnya, program itu juga akan diperluas ke daerah lain termasuk Ranau dalam masa terdekat sebagai sebahagian usaha memperkukuh identiti budaya di peringkat akar umbi.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan persatuan turut merancang menganjurkan Bengkel Bahasa Dusunik di Bongawan pada bulan depan.