KOTA KINABALU: Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah bercadang untuk mengadakan Karnival Dusunik Sabah peringkat Keningau di kampung Apin-Apin pada Ogos depan.
Presiden persatuan itu, Datuk Lawrence Gimbang berkata program itu, antara lain, bertujuan menyebarluas dan mengekalkan budaya Dusunik di negeri ini.
Beliau berkata karnival itu juga bermatlamat untuk menyuburkan penggunaan bahasa Dusunik bagi memastikan bahasa asli tempatan itu tidak ditelan zaman.
Lawrence berkata antara pengisian Karnival Dusunik Sabah di Keningau itu ialah pertandingan pidato, puisi, baju kebudayaan dan bengkel bahasa Dusunik.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Persatuan Pelestarian Bahasa Dusunik Sabah di sini hari ini.
Lawrence berkata program Karnival Dusunik Sabah itu bakal diperluaskan ke daerah lain termasuk di Ranau dalam masa terdekat.
Selain itu, katanya persatuan itu akan menganjurkan Bengkel Bahasa Dusunik di Bongawan pada Ogos depan.