Kota Kinabalu : Pengendali Sabah FC Datuk Ong Kim Swee membuat kejutan apabila memutuskan untuk tidak menyambung kontrak bersama skuad Sang Badak apabila tempoh perkhidmatannya tamat pada akhir bulan ini.
Perkara itu dikongsikan Kim Swee menerusi kenyataan yang diberikan kepada media, pagi ini.
“Dengan rasa berat hati, saya memutuskan untuk memilih haluan berbeza dengan tidak meneruskan tugasan saya sebagai Ketua Jurulatih Sabah FC apabila kontrak saya tamat pada November 2024.
“Tugasan terakhir saya adalah perlawanan menentang PT Athletic pada 23 November 2024.
“36 bulan bersama Sabah FC bukanlah satu jangka masa yang singkat dan perjalanan ini amat luar biasa. Saya sangat bersyukur diberi peluang untuk memimpin kelab bola sepak yang hebat ini,” katanya.
Kim Swee bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut keputusannya itu, lebih-lebih lagi sebelum ini Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya mengumumkan keputusan menyanbung kontraknya sehingga tamat saingan Liga Super musim ini.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor; Shahelmey dan pihak pengurusan tertinggi Sabah FC atas kepercayaan dan sokongan terhadap beliau selama ini.
“Saya turut menyatakan rasa bangga kepada pemain Sabah FC dan pegawai sokongan atas usaha dan pencapaian, serta sokongan sebagai satu pasukan.
“Komitmen dan profesionalisme anda sama ada di atas mahupun di luar padang adalah sesuatu yang luar biasa. Bekerja bersama anda adalah satu penghormatan besar bagi saya.
“Kepada pegawai sokongan, penghargaan yang tinggi saya berikan atas usaha tanpa henti dan komitmen anda di belakang tabir. Kepakaran dan semangat anda adalah tunjang kepada segala pencapaian kita selama ini,” katanya.
Beliau juga tidak lupa merakamkan rasa terima kasih yang mendalam kepada penyokong Sabah FC, yang disifatkannya sangat bermakna kepada pasukan.
“Anda (penyokong) adalah nadi kelab ini. Sama ada di stadium atau menyokong dari jauh, sokongan anda sentiasa memberi makna besar kepada saya dan pasukan. Ini akan sentiasa saya kenang.
“Walaupun saya tidak memimpin Sabah FC lagi, saya tetap akan menjadi penyokong setia. Saya berharap dapat melihat kelab ini terus maju dan berjaya di masa hadapan,” katanya.
Kim Swee membimbing Sabah FC sejak 2022 menggantikan pengendali dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto dan berjaya membawa skuad Sang Badak antara tiga pasukan teratas Liga Super selain memasuki kejohanan AFC pada tahun lalu. – SABAH MEDIA