Kota Kinabalu: Golongan muda yang ingin menjadi usahawan berjaya perlu mengambil peluang menceburi bidang perniagaan berkonsepkan francais yang merupakan platform terbaik untuk berkembang.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir. Shahelmy Yahya berkata, konsep perniagaan francais lebih mudah kerana segala keperluan tersedia, sekaligus meringankan beban usahawan khususnya peniaga baharu.
“Dalam keadaan sekarang yang mana peluang pekerjaan mungkin agak terhad, jadi satu pilihan untuk golongan muda adalah menceburkan diri dalam keusahawanan antaranya bidang francais.
“Konsep ini lebih mudah kerana sistem francais sudah menyediakan segalanya, apa yang diperlukan hanya usaha dan pengurusan serta pemasaran yang jitu untuk pastikan ia berjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan pembukaan Kiosk Coolblog yang turut dihadiri Pengarah Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) Wilayah Sabah, Mohd Nadzier Khan, di sini, pada 21 Sept.
Shahelmy yang juga Menteri Kerja Raya berkata, kerajaan juga menyediakan pelbagai bantuan dan inisiatif kewangan kepada usahawan muda melalui beberapa agensi di bawah Kementerian Kewangan.
Katanya, antaranya adalah Pernas yang telah banyak memainkan peranan penting membantu menerusi pembiayaan modal kepada ramai usahawan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk francais.
“Ramai usahawan antaranya sebagaimana yang kita rasmi pembukaannya hari ini, mendapat suntikan modal dan juga nasihat pengurusan perniagaan daripada Pernas,” katanya.