Oleh Dr Jikat Binol Darimbang
PENAMPANG: Dewan Hongkod Koisaan KDCA di Penampang hari ini menjadi saksi kepada satu detik bersejarah apabila lebih 7,000 penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) membanjiri ruang dewan sempena Konvensyen Perpaduan PBS-STAR 2025.
Dengan tema “Satu Suara Rumah Kita Kita Jaga”, konvensyen ini mencerminkan satu anjakan paradigma dalam landskap politik negeri Sabah apabila dua parti berteras perjuangan rakyat tempatan – yang dahulunya sering bertembung dalam pilihan raya – tampil bersatu suara dan hati demi memperjuangkan masa depan negeri tercinta.
Warna biru dan putih berkibar megah, mewarnai seluruh dewan, mencerminkan kekuatan, keikhlasan dan kesepakatan dua gerakan politik yang kini berganding bahu atas satu landasan perjuangan – Sabah for Sabahan.
Konvensyen ini turut menampilkan dua pemimpin ulung yang amat dikasihi rakyat, iaitu YB Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden STAR, dan YB Datuk Seri Panglima Dr. Joachim Gunsalam, Presiden PBS, yang hadir bersama barisan kepimpinan tertinggi kedua-dua parti.
Dalam ucapan mereka, kedua-dua pemimpin menegaskan bahawa kerjasama ini bukan sekadar strategi pilihan raya, tetapi satu ikrar perjuangan bersama untuk menjaga hak-hak Sabah, memperkasa ekonomi negeri dan memastikan suara rakyat Sabah terus didengari dan dihormati di peringkat nasional.
Slogan konvensyen, “Satu Suara, Rumah Kita Kita Jaga”, telah diterima dengan penuh semangat oleh para penyokong sebagai lambang tekad baharu untuk mempertahankan maruah, tanah, dan masa depan generasi negeri ini.
Dengan PRN Sabah ke-17 semakin hampir, kerjasama rasmi antara PBS dan STAR ini dilihat sebagai satu langkah proaktif dan strategik dalam mengukuhkan blok politik tempatan yang benar-benar memahami denyut nadi serta aspirasi rakyat Sabah.
Gabungan PBS-STAR bukan sahaja mencerminkan kematangan politik, tetapi juga kesediaan untuk melangkah ke hadapan dalam kerangka perpaduan yang lebih besar – demi sebuah Sabah yang stabil, maju dan bermaruah.