LABUAN : Kutipan Zakat Majlis Agama Islam (MAIWP) meningkat 11 peratus kepada RM 1 bilion berbanding tahun 2022.
Pengerusinya, Syed Kamarulzaman Syed Kabeer berkata, beliau yakin trend peningkatan sama juga boleh dicapai tahun ini memandangkan sehingga November MAIWP mengutip lebih RM700 juta.
Katanya, agihan wang zakat secara keseluruhan untuk tempoh sama tahun ini melebihi jumlah kutipan iaitu hampir RM800 juta.
“Di Labuan agihan Zakat menunjukkan pencapaian luar biasa apabila sehingga Oktober tahun ini MAIWP mengagihkan sebanyak RM68.8 juta.
“MAIWP melaksanakan pelbagai program serta inisiatif bagi membantu masyarakat yang kurang berkemampuan di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan,” katanya.
Syed Kamarulzaman berkata, bantuan disalurkan termasuklah pengajian di peringkat diploma, Ijazah serta kemahiran vokasional kepada anak asnaf.
“Selain bantuan yuran dan elaun Pengajian, MAIWP turut memperkenalkan Program Gerobok Rezeki Universiti dengan peruntukan RM1 juta untuk keperluan universiti mendapat akses kepada bekalan makanan.
“MAIWP memperuntukan sebanyak RM 3.4 juta dana zakat untuk Skim Bantuan Komputer Riba yang memberi manfaat kepada 110 pelajar di Labuan,” jelas Syed Kamarulzaman.
Menurutnya, usaha membantu meringankan beban keluarga Ibu bapa yang tidak dapat menyediakan peralatan pembelajaran selain menyokong perjalanan akademik pelajar.
“MAIWP memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan dengan membantu isi rumah asnaf untuk keluar dari kemiskinan seterusnya menjadi pembayar zakat,” Syed Kamarulzaman.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Labuan, Simsudin Sidek serta Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Nizam Yahya.