LABUAN, 23 Nov (Bernama) — Inisiatif Labuan Connect! yang membawa matlamat bagi mentransformasi Labuan menjadi sebuah komuniti yang berdaya digital dan inklusif, dilancarkan hari ini.
Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Nik Kamaruzaman Nik Husin berkata inisiatif itu bukan sekadar sebuah program semata-mata, malah ia adalah satu visi, gerakan dan satu komitmen teguh Kementerian Komunikasi untuk memanfaatkan kuasa transformatif teknologi demi kebaikan komuniti.
“Labuan Connect! berusaha untuk merapatkan jurang digital, mempromosikan inovasi dan melengkapkan rakyat kita dengan alat dan kemahiran yang mereka perlukan untuk berjaya dalam era digital hari ini.
“Ini adalah misi inklusiviti, kemajuan dan pemerkasaan kerajaan untuk memastikan Labuan turut berada di barisan hadapan dalam transformasi digital Malaysia,” katanya semasa merasmikan pelancaran Labuan Connect! di Kampung Patau-Patau 1 di sini hari ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin.