Kuala Lumpur : Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak BRICS 2025 adalah satu langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia dalam landskap ekonomi global masa kini.
Penganalisis politik Profesor Madya Dr. Awang Azman Awang Pawi, berkata ketika dunia menyaksikan peralihan kuasa ekonomi ke arah negara-negara membangun, kehadiran Malaysia dalam forum ini menunjukkan komitmen tinggi negara terhadap usaha mengukuhkan hubungan dua hala selain mempromosikan pelaburan serta membina masa depan ekonomi yang lebih inklusif dan mampan.
Katanya, lawatan ini membuka peluang strategik kepada Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan ekonomi dengan kuasa besar baharu seperti China, India, Brazil, Rusia dan Afrika Selatan.
Malah katanya, lawatan ini juga mampu mengimbangi kebergantungan kepada pasaran tradisional seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Ia juga membawa Malaysia menembusi pasaran baharu yang sedang pesat berkembang dalam rangkaian BRICS selain mendekati perdagangan multipolar yang lebih adil,” katanya.
Awang Azman berpendapat,dari sudut diplomasi ekonomi, lawatan ini menunjukkan komitmen Malaysia terhadap multilateralisme, melalui sokongan terhadap sistem perdagangan global yang lebih adil.
“Ia juga meningkatkan keyakinan pelabur asing, melalui naratif kestabilan politik dan dasar ekonomi yang mesra pelaburan.
“Mewujudkan hubungan strategik dalam bidang tenaga boleh diperbaharui, digitalisasi, dan infrastruktur dengan negara BRICS sekaligus merangsang pelaburan asing ke Malaysia,”katanya.
Jelasnya lagi, beberapa sektor utama yang dijangka akan meraih manfaat dari lawatan ini termasuklah sektor tenaga boleh diperbaharui dan hidrogen hijau yang sejajar dengan Pelan Peralihan Tenaga Nasional melalui kerjasama strategik bersama negara seperti Brazil dan Afrika Selatan, sektor teknologi pertanian dengan memperkukuh sektor agro Malaysia melalui perkongsian teknologi dari Brazil, Infrastruktur dan logistik termasuk pembangunan pelabuhan, sistem pengangkutan dan bandar pintar bersama negara seperti China, India dan Rusia dan digitalisasi serta kecerdasan buatan (AI) melalui kolaborasi teknologi, automasi dan keselamatan siber.
“Lawatan rasmi Perdana Menteri ke Sidang Kemuncak BRICS 2025 ini bukan sekadar simbol diplomatik, tetapi sebuah misi strategik untuk memastikan Malaysia terus relevan dan bersaing dalam era ekonomi global baharu.
“Dengan menjalin kerjasama pelbagai hala bersama negara-negara BRICS, Malaysia mampu memperkukuh kedudukan sebagai jambatan antara negara membangun dan maju, sambil mengangkat aspirasi Ekonomi MADANI dan mempercepatkan transformasi ekonomi negara ke arah masa depan yang lestari dan berdaya saing,” katanya.