Oleh Normimie Diun
PAPAR: Sebanyak 16 projek pembangunan fizikal di bawah inisiatif Kampung Angkat Madani (KAM) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah siap sepenuhnya, memberi manfaat langsung kepada lebih 1,000 penduduk di Mukim Kaiduan, di daerah ini.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kejayaan pelaksanaan projek tersebut membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam merapatkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar secara menyeluruh.
“Kesemua projek yang telah disiapkan ini bukan sahaja menyediakan infrastruktur asas yang lebih baik dan selamat, malah menyokong pembangunan sosioekonomi serta kegiatan keagamaan masyarakat setempat,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Kampung Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Kaiduan, hari ini.
Program Kampung Angkat Madani merupakan inisiatif yang diperkenalkan kerajaan pada tahun 2024 bagi memperkasa pembangunan luar bandar melalui pendekatan holistik, merangkumi bukan sahaja pembinaan infrastruktur tetapi juga pengisian sosial seperti sesi libat urus bersama komuniti serta penyampaian perkhidmatan kerajaan secara bergerak.
Mukim Kaiduan dipilih sebagai Kampung Angkat Madani bagi KPDN berdasarkan beberapa kriteria, antaranya liputan kemudahan asas yang masih rendah iaitu di bawah 50 peratus.
Armizan berkata, sebanyak RM107 juta telah diperuntukkan bagi pelaksanaan program ini yang melibatkan 43 kampung di seluruh negara, dengan setiap kementerian dan agensi menerima peruntukan RM2.5 juta untuk melaksanakan projek masing-masing.
Antara projek utama yang telah dilaksanakan di Mukim Kaiduan termasuk naik taraf jalan dan pembinaan jambatan di Kampung Kaiduan dan Kampung Bisuang; pembinaan jambatan gantung ke Sekolah Kebangsaan Kaiduan; pembinaan jambatan Low Level Crossing (LLC) di Kampung Ulu Kaiduan; serta pembinaan surau dan dewan serbaguna di kawasan sekolah.

Selain itu, projek lain turut melibatkan naik taraf gereja dan balai raya serta pembinaan gelanggang sepak takraw di Kampung Bolotikon, baik pulih laluan pejalan kaki dan jambatan gantung di Kampung Moliyoun, serta pemasangan lampu solar di beberapa kampung terlibat.
“Kejayaan pelaksanaan projek ini adalah hasil sinergi pelbagai pihak termasuk Kementerian Kewangan Malaysia, Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (SDO), Pejabat Daerah Papar serta sokongan masyarakat setempat,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemimpin dan penduduk Mukim Kaiduan atas kerjasama serta komitmen yang diberikan sepanjang pelaksanaan projek.
KPDN menyeru agar semua kemudahan yang disediakan dapat digunakan secara optimum dan diselenggara dengan baik agar manfaatnya dapat dikekalkan untuk jangka masa panjang.
“Kita harap inisiatif Kampung Angkat Madani ini menjadi satu citra lestari yang terus memacu kemajuan luar bandar secara inklusif dan mampan,” tambahnya.

Pada majlis sama turut diadakan sukan rakyat, persembahan tarian dan nyanyian, selain menjamu selera beramai-ramai serta cabutan tiket bertuah.