Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Lebih 60,434 pengguna di Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan kini menikmati bekalan elektrik yang lebih stabil dan efisien hasil pelaksanaan tujuh projek tenaga bernilai lebih RM260 juta oleh Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata projek-projek berkenaan dilaksanakan menerusi inisiatif Pasukan Projek Khas Bekalan Elektrik Sabah (PPKBES) bagi memperkukuh infrastruktur tenaga serta menjamin kelestarian bekalan elektrik di negeri ini.
Menurut Fadillah, kesemua projek yang telah siap itu bukan sahaja meningkatkan keupayaan sistem sedia ada, malah menyediakan asas penting untuk pembangunan ekonomi menerusi rangkaian grid yang lebih kukuh dan menyeluruh, selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa menyempurnakan sesi penyerahan rasmi projek-projek berkenaan dalam lawatan PETRA Skuad Sabah 2025 ke Pencawang Masuk Utama (PMU) 132/33kV Kota Kinabalu (KKBU) hari ini, yang merupakan antara komponen utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMKe-10).
PMU KKBU kini memberi manfaat kepada kira-kira 11,452 pengguna di kawasan Tanjung Aru dan sekitar ibu negeri, dengan pembinaan kemudahan suis berpenebat gas 132kV dan 33kV (GIS) serta pemasangan transformer 132/33/11kV bagi menggantikan sistem lama 66/11kV yang telah usang dan tidak lagi mempunyai alat ganti. Projek ini turut menyokong pembinaan jajaran kabel baharu 33kV ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), sekaligus meningkatkan kebolehpercayaan bekalan elektrik ke kawasan strategik berkenaan.
Turut disiapkan ialah Projek Sambungtara 132kV Labuan–Sipitang (Fasa 1 – Pakej 2) bernilai RM34.92 juta, yang merangkumi penaiktarafan PMU Beaufort ke 275kV dan pembinaan menara talian sepanjang tujuh kilometer dari PMU Megalong ke sempadan Sidumin untuk sambungan ke Lawas, Sarawak. Projek ini siap pada 2 September 2024 dan kini menunggu penyempurnaan sambungan oleh Sarawak Energy pada September 2025. Ia bakal membolehkan 30 megawatt tenaga diimport dari Sarawak, dengan kapasiti penghantaran mencecah 500 megawatt melalui jaringan ASEAN Power Grid.
Di Ranau, projek Pembahagi Utama (PPU) 33/11kV bernilai RM31.3 juta yang siap sepenuhnya pada 15 Mac 2024 telah menyambungkan kawasan itu ke grid elektrik Sabah. Ia mengurangkan kebergantungan kepada stesen janakuasa diesel berkapasiti 18 megawatt, memberikan persekitaran lebih bersih dan mengurangkan keperluan subsidi diesel kepada 15,620 pengguna di kawasan berkenaan.
Projek PPU Batu Sapi pula bernilai RM30.02 juta dan mula beroperasi pada 13 Disember 2024. Ia menggantikan sistem agihan lama serta meningkatkan kecekapan agihan kuasa dari Stesen Janakuasa Batu Sapi ke kawasan sekitar Sandakan, termasuk Karamunting, Bokara dan Kampung Istimewa, memberi manfaat kepada kira-kira 4,744 pengguna.
Sementara itu, Projek Protection On-Line Monitoring bernilai RM42 juta pula melibatkan pemasangan kabel gentian optik dasar laut sepanjang 15 kilometer dari Menumbok ke Tanjung Aru, Labuan. Siap pada 5 Februari 2024, ia memperkukuh sistem perlindungan talian dari PMU Beaufort ke PMU Rancha-Rancha.
Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), PMU 132/33/11kV bernilai RM50.011 juta mula beroperasi sepenuhnya pada 12 Ogos 2024. Projek ini meningkatkan kapasiti beban dari 93.51 megawatt kepada 131.60 megawatt dan mengurangkan kadar gangguan bekalan (SAIDI) di kawasan sekitarnya. Lebih 5,000 pengguna menerima manfaat secara langsung, termasuk Hospital UMS yang kini turut disokong oleh PMU tersebut.
Satu lagi projek penting ialah Sistem Pengukuhan 11kV Labuan bernilai RM6.3 juta yang siap pada 9 November 2024. Ia melibatkan penaiktarafan sistem perlindungan di PPU Rancha-Rancha dan meningkatkan keupayaan sistem menyokong pembangunan baharu di wilayah tersebut.
Fadillah berkata, pelaksanaan tujuh projek ini membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh sistem tenaga di Sabah dan Labuan serta memastikan penyampaian perkhidmatan tenaga yang lebih berkualiti kepada rakyat.