KOTA KINABALU, 26 Okt (Bernama) — Kondisi jalan yang selesa, efisien dan selamat menerusi pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dilihat mampu menarik kehadiran lebih ramai peminat motosikal berkuasa besar ke negeri itu selain berupaya memacu sektor pelancongan.
Presiden Persatuan Penunggang Motosikal Berkuasa Besar Sabah Datuk Osman Ahmed berkata tahap keselamatan para penunggang juga akan dapat dipertingkat apabila pembinaan jaringan lebuh raya itu siap sepenuhnya.
“Insya-Allah, sedikit masa lagi, apabila pembinaan Pan Borneo selesai, kami akan buat satu program iaitu produk baharu untuk sektor pelancongan di Sabah. Saya harap sukan permotoran mendapat maklum balas baik dan positif daripada seluruh peminat motosikal berkuasa besar.
“Saya juga yakin dengan kondisi jalan raya yang baik, sudah tentu ramai penunggang motosikal berkuasa besar akan ke Sabah untuk menikmati keindahan Negeri di Bawah Bayu,” katanya kepada pemberita pada Festival Permotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo di sini hari ini.
Seramai 1,150 peminat sukan itu dari Labuan, Sarawak dan Sabah selain Brunei Darussalam, Indonesia serta Singapura mendaftar untuk menyertai program itu yang bertujuan mengeratkan silaturahim antara mereka.
Pagi tadi, lebih 300 motosikal berkuasa besar menyertai konvoi mengelilingi bandar raya ini dengan diketuai Osman, yang juga pengerusi penganjur festival itu.