TAWAU: Seorang lelaki cedera di kaki apabila kereta jenis Toyota Hilux yang dipandunya, terbabas di Kg Jagung Jalan Tawau – Merotai, pada Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa, 30, yang tersepit, berjaya dikeluarkan pasukannya dengan menggunakan peralatan khas.
“Mangsa kemudiannya diberikan rawatan awal dan diserahkan kepada ambulans untuk dihantar ke hospital Tawau bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mangsa dipercayai terbabas sendiri ke tepi jalan.
Terdahulu, katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 2.51 pagi menerusi MERS999.
Tambahnya, sepasukan 10 pegawai dan anggota bersama dua jentera tiba di lokasi pada jarak 32 kilometer sekitar jam 3.32 pagi.
Jemishin berkata, pihaknya menamatkan operasi pada jam 3.50 pagi selepas memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi.