KOTA BELUD: Seorang lelaki berusia 51 tahun dikhuatiri hilang di sungai semasa menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan sungai Kampung Lebak Moyoh Kupang dekat sini pagi semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelammat Malaysua (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 8.28 pagi tadi.
“Menurut pemanggil mangsa keluar dari rumah pada jam 11:00 pagi Ahad (24 Nov) untuk menjalankan aktiviti menangkap di Kawasan Sungai Lebak Moyoh dan keluarga mangsa menyedari mangsa tidak balik ke rumah.
“Dalam jam lebih kurang jam 10 malam tadi, adik kepada mangsa telah ke sungai tersebut untuk mencari abangnya tetapi hanya menemui jala, beg pinggang, telefon, selipar dan baldi di tepi sungai.
“Orang kampung turut membantu membuat pencarian awal,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan Bomba dari Balai Bomba Kota.Belud bertindak ke lokasi kejadian mengambil maklumat dan seterusya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Hari pertama operasi SAR dijalankan melibatkan agensi keselamatan selain Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung turut membantu dalam operasi tersebut.
“Teknik pencarian secara surface water searching (bot), teknik wave, pencarian di kawasan tebing sungai, menggunakan bot dan dibantu anjing pengesan K9 JBPM dengan jarak keseluruhan pencarian SAR 8 kilometer.
“Bagaimanapun mangsa dikenali Noordin Punjuh berusia 51 tahun itu masih belum dijumpai dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.
“Operasi SAR ditangguhkan pada jam 6 petang tadi dan akan di sambung semula pada hari esok,” katanya.