Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Baru dipenjara kerana mencederakan kakaknya, seorang lelaki dihukum lagi.
Kali ini, dia dijatuhi hukuman penjara 14 bulan dan denda RM2,000, atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda, kerana memecahkan cermin kereta milik wanita itu.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman itu terhadap Ridzuan Roslan, 29, selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat dengan menghempas topi keledar ke cermin kereta milik kakaknya sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM550.
Kesalahan itu dilakukan pada27 April lalu di kawasan tempat letak kereta di Cyber City Apartment, Penampang.
Dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun keseksaan yang memperuntukkan pemenjaraan tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada lima tahun, atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, semasa hari kejadian tertuduh telah bertindak agresif dan telah menumbuk bahagian kanan kepala pengadu serta menghempas tangan pengadu di pintu jeriji rumah.
Ridzuan turut memecahkan kenderaan pengadu dengan menggunakan topi keledar sehingga menyebabkan cermin hadapan kenderaan tersebut pecah.
Siasatan awal mendapati pergaduhan berpunca apabila pengadu telah menegur suspek untuk diam kerana suspek menjerit-jerit di dalam rumah.
Pada 1 julai lalu, Mahkamah Majistret berasingan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan selepas Ridzuan mengaku bersalah atas pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap kakaknya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tangkap.
Ridzuan tidak diwakili peguam, manakala Pegawai pendakwa Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah mengendalikan kes pendakwaan.
LINK BERITA TERDAHULU: https://sabahmedia.com/2025/07/01/tumbuk-kakak-sebab-ditegur-menjerit-lelaki-dipenjara-12-bulan/