TAWAU : Polis menahan lima individu ketika leka menghisap dadah dalam satu serbuan di kawasan taman perumahan Jalan Utara Baru, Tawau di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kesemua suspek termasuk dua wanita masing-masing berumur antara 32 hingga 48 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 7.15 malam.
Katanya, pihaknya berdasarkan hasil maklumat risikan kemudiannya melakukan serbuan mendapati sebuah rumah dijadikan sebagai sarang penagih dadah.
“Polis menahan tiga lelaki bersama dua wanita disyaki terlibat dalam aktiviti penagih dadah berada di rumah tersebut.
“Pemeriksaan terhadap badan semua suspek, polis tidak menemukan apa-apa barang terlarang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jasmin berkata, polis menemukan dua paket plastik jernih berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu bersama peralatan menghisap syabu diletakkan di atas meja berhampiran suspek berkumpul.