LABUAN : Majlis Belia Labuan (MBL) terus berusaha memperkasakan pembangunan belia sekali gus mewujudkan semula penubuhan kelab belia di peringkat kampung dalam tempoh terdekat.
Presidennya, Nazera Roslan berkata, penubuhan kelab belia di peringkat kampung akan menjadi platform penting belia untuk menyuarakan idea, pandangan serta aspirasi terhadap pembangunan komuniti.
“Selain itu, penubuhan belia dilhat menjadi landasan terbaik untuk berkongsi isu-isu belia secara efektif sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan,
“Pemimpin masyarakat termasuk Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) perlu memainkan peranan penting dalam menyokong usaha MBL menubuhkan kelab belia di peringkat kampung dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penubuhan kelab belia kampung Durian Tunjong, di sini kelmarin.
Nazera berkata, pihaknya yakin JPKK akan memberikan sokongan kepada golongan belia untuk menubuhkan kelab belia di kampung masing-masing sekali gus memperkasakan suara belia di peringkat akar umbi.
“Usaha ini bukan sahaja memartabatkan suara belia di peringkat akar umbi, tetapi juga mampu memperkukuhkan jaringan sokongan untuk pembangunan belia secara menyeluruh di Labuan,” Nazera.