SANDAKAN – Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee, menerusi soalan tambahan di Persidangan Dewan Rakyat di Parlimen meminta Kementerian Kewangan (MOF) untuk menyatakan berapa bilangan syarikat di Sabah dan Sandakan yang telah melaksanakan sistem e-invois.
Vivian turut meminta kementerian itu menyatakan berapa bilangan syarikat yang telah melaksanakan e-invois dan bilangan e-invois yang telah dijana daripada sistem MyInvoice setakat ini.
Menerusi jawapan kepada Vivian, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying menyatakan, bagi negeri Sabah dan Sandakan, ia akan diberikan pihaknya dalam jawapan bertulis kepada Vivian.
Bagaimanapun, untuk bilangan atau e-invois yang lain di negara ini, Hui Ying memberitahu, sehingga 19 November, terdapat 7,900 syarikat yang telah menggunakan sistem e-invois.
Jelasnya, mengikut perkiraan dan sasaran MOF, bagi fasa pertama, terdapat kira-kira 5,000 syarikat yang perlu mendaftar dan menggunakan sistem e-invois, namun jumlah itu telah melebihi sasaran awal.
Ini berikutan terdapat syarikat-syarikat yang berada dalam fasa kedua dan fasa ketiga telah mula melaksanakan e-invois sebelum tempoh yang diberikan kepada mereka dimana mereka telah memulakan e-invois secara suka rela.
Jelasnya, ia juga menunjukkan 80 peratus daripada jumlah penghantaran e-invois telah dikemukakan oleh pembayar cukai pada fasa pertama dan 20 peratus lagi dikemukakan secara suka rela.
Tambahnya, bagi pembayar cukai dalam fasa pertama yang masih belum melaksanakan e-invois, MOF bersama pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga sedang meneliti kenapa mereka tidak berbuat sedemikian.
“Ini kita akan kaji secara kes demi kes,” tambahnya.
Vivian berharap data untuk Sabah dan Sandakan dapat diberikan secepatnya oleh pihak MOF.
“Ia penting bagi dalam memastikan sama ada kesedaran dan pengetahuan mengenai pelaksanaan e-invois di Sabah dan Sandakan adalah selari dengan negeri-negeri yang lain.” Kata Vivian.