LAHAD DATU: Seorang pemandu berusia 23 tahun cedera selepas treler lori terbabas dan terbakar di Batu 9, Jalan Lahad Datu-Tawau, di sini, pada Selasa.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berikutan kejadian itu jam 7.45 malam.
Katanya, sepasukan anggota bomba bergegas ke tempat kejadian dengan jentera bomba dan kenderaan EMRS.
“Sebaik tiba, pasukan melaporkan sebuah treler lori terbakar selepas terbabas ke bahu jalan.
“Pasukan segera menjalankan operasi untuk memadamkan kebakaran. Seorang lelaki cedera dan dibawa ke hospital oleh kenderaan EMRS,” katanya.
Sumsoa menambah, operasi tamat jam 10.11 malam selepas pasukan memastikan tiada bahaya lain di tempat kejadian.