Membakut: Pembinaan 12 buah Rumah Ihsan Membakut (RIM) dijangka akan siap sepenuhnya menjelang Februari tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pembinaan rumah baharu di atas tapak asal itu melibatkan kos RM30,000 bagi setiap rumah.
Katanya, pembinaan RIM itu adalah menggunakan peruntukan ADUN.
“Daripada 12 buah rumah yang hangus di Kampung (kg) Binsuluk, di Kg Madang kemudian di Kg Baitam, di Kampung Takapan, kita akan sediakan sebuah rumah masing-masing yang kita namakan sebuah Rumah Ihsan Membakut.
“Ini di bawah peruntukan DUN dan awal tahun kita akan mulakan, sekarang pun sudah mula sebahagiannya. Tahun depan lebih kurang bulan Februari, siaplah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Outreach Perpaduan Sosial Sabah Maju Jaya (SMJ) di sini, semalam.
Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, bagi rumah yang terbakar tapi sudah membuat sebahagian daripada rumahnya, pihaknya akan membantu lagi agar apa yang di buat dapat disempurnakan.
“Tadi, saya sudah melawat tiga buah rumah yang sedang mereka buat sendiri dan insyaAllah kita akan tambah baik, kita akan bantu mereka dengan bahan-bahan yang keperluan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Arifin berkata, RIM dilaksanakan sejak empat tahun lalu di kawasan Membakut dengan beberapa rumah telah dibina bagi mangsa kebakaran dan golongan daif.
“Kita telah melaksanakan RIM ini sudah lebih kurang empat tahun dengan beberapa buah rumah yang terbakar sudah kita bina, misalnya di Pimping ada tiga buah, ada beberapa tempat lagi. Bukan sahaja yang terbakar, ada yang daif kita akan bantu,” katanya.
Sehingga kini katanya, pihaknya telah membina 20 buah Rumah SMJ dan 40 buah lagi bakal dilaksanakan pada tahun depan sekali gus menambah jumlah rumah bagi warga Membakut.
“Sekarang sudah ada Rumah SMJ, bertambahlah bilangan rumah walaupun rumah RIM ini agak kecil berbanding dengan Rumah SMJ.
“Selepas ia dibina, maka tuan rumah atau keluarga berkenaan boleh menambahbaik atau memperluaskan lagi.
“Tahun ini, semua Rumah SMJ telah kita laksanakan di DUN Membakut ini, 20 buah rumah dan tahun hadapan ada 40 buah rumah lagi yang telah diumumkan oleh YAB Ketua Menteri.
“Kita sudah ada senarainya melalui focus group di bawah pengerusi atau kendalian Pejabat Daerah dan Pegawai Daerah Membakut,” katanya
Sementara itu, Arifin turut meninjau Teratak Musafir yang terletak bersebelahan dengan Dewan Kesenian Islam dan dikendalikan oleh Pejabat Daerah Membakut.
“Rumah musafir ini dah siap dan boleh dimanfaatkan oleh semua. Apa-apa keperluan boleh merujuk kepada pejabat daerah termasuk program-program yang kita adakan.
“Kita boleh mengadakan program di sini termasuk untuk penceramah dan mereka yang terlibat dalam kerja di daerah membakut ini, sekurang-kurangnya ada manfaatnya,” katanya.