Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Sebuah syarikat pengendali pakej umrah bersama pengarahnya didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, kerana gagal mematuhi perintah award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) untuk membayar balik tuntutan wang berjumlah RM232,526.80 kepada enam mangsa.
Syarikat berkenaan, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd, dan pengarahnya iaitu Datuk Zulkarnain Endut, 44, masing-masing berdepan enam pertuduhan dibawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Seksyen ini memperuntukkan hukuman tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zulkarnain, bagi pihak syarikat dan dirinya sendiri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Mengikut pertuduhan, syarikat berkenaan dan Zulkarnain didakwa kerana gagal membayar award tuntutan antara RM24,666.80 hingga RM50,000 kepada enam individu, dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM232,526.80.
Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 24 Julai 2023 hingga 25 Januari 2024 di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, Jalan UMS.
Mahkamah menetapkan 23 September sebagai tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan, dan membenarkan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di pejabat KPDN di Putrajaya pada setiap 17 haribulan.
Timbalan Pendakwa Raya KPDN Shafiq Mahadi dan Md Syafique Md Helmie, mengendalikan pendakwaan manakala peguam Farah Nazriah Chun Lee @ Mohd Fadzlee Lee mewakili pihak tertuduh.
Terdahulu, Farah memaklumkan bahawa seorang lagi pengarah syarikat, Datin Mazuin Mustafa, iaitu isteri kepada Zulkarnain, sepatutnya turut didakwa hari ini namun tidak dapat hadir kerana mengalami kehamilan berisiko tinggi dan tidak dapat melakukan perjalanan ke Sabah.
Farah berkata perkara itu telah disahkan oleh Hospital Putrajaya pada 20 Jun 2025.
Beliau kemudian memohon supaya waran tangkap terhadap Mazuin dibatalkan, dan pihak pendakwaan tidak membantah permohonan tersebut.
Sementara itu, Shafiq memaklumkan bahawa berdasarkan surat daripada hospital, isteri tertuduh kini hamil 11 minggu.
Shafiq turut memohon agar tarikh pengurusan kes sebelum perbicaraan ditetapkan dalam tempoh dua bulan, termasuk bagi mengetahui status isteri tertuduh berhubung kebenaran melakukan perjalanan setelah disahkan oleh doktor.
Bagi permohonan jaminan, Shafiq memohon jaminan RM2,000 bagi setiap pertuduhan atas kepentingan awam, memandangkan kes ini melibatkan ramai jemaah umrah dan kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Farah bagaimanapun memohon jaminan yang lebih rendah memandangkan tertuduh adalah warga Malaysia dari Terengganu.
Tambahnya,syarikat tertuduh telah digulung (wound up) pada 17 Julai 2024, akaun telah dibekukan, dan tertuduh kini tidak mempunyai pendapatan tetap.
Mahkamah turut dimaklumkan bahawa tertuduh sedang berdepan pelbagai pertuduhan serupa di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak, Sabah dan Semenanjung.