Kota Kinabalu : Penjawat awam dinasihatkan agar sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Mohd Bakhari Ismail berkata, penjagaan kesihatan dalam kalangan penjawat awam adalah penting bagi meningkatkan tahap produktiviti dan mutu kerja.
“Penjawat awam ini ada yang bekerja mengikut waktu bekerja daripada 8 pagi hingga 5 petang atau 9 pagi hingga 6 petang, ada juga yang bekerja ikut syif.
“Tapi nasihat saya, carilah ruang untuk mengamalkan budaya hidup sihat seperti nasihatkan oleh ramai penasihat dari segi kesihatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perasmian Larian Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam Ke-20 (MAPPA XX) di Kompleks Sukan Likas di sini, pada Sabtu.
Mohd Bakhari berkata, penjawat awam perlu mendapatkan 10,000 langkah sehari selain melakukan ‘stretch out’ selepas dua jam duduk di pejabat.
Katanya, ini bagi memberikan kesihatan kepada tubuh badan.
Selain itu, beliau turut menjelaskan penjawat awam yang memiliki minda dan tubuh badan yang sihat mampu melaksanakan tugas dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan produktiviti organisasi.
Dalam pada itu, larian tersebut disertai lebih 2,500 peserta terdiri daripada penjawat awam dan orang awam yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Tambahnya, penganjuran program berkenaan adalah bagi menjunjung nilai madani kesejahteraan untuk diterapkan dalam kalangan rakyat termasuklah penjawat awam agar mempunyai badan dan minda yang sihat.
Beliau turut berharap lebih ramai akan menyertai program-program kesihatan seperti itu bagi membudayakan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.