PERAK: Program Industri Nexus INDex POLYCC 2024 beri kepercayaan kepada Sedafiat untuk Perkongsian Strategik antara Industri dan Politeknik.
Kepimpinan syarikat Sedafiat terus diberikan kepercayaan sebagai mewakili pihak industri dalam usaha kerajaan untuk melahirkan tenaga kerja mahir.
Ketua Pegawai Eksekutif Sedafiat Sdn Bhd, Datuk Hj Ag Buhtamam Hj Ag Mahmun, juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Industri Politeknik Kota Kinabalu, menerima watikah perlantikan sebagai CEO@POLYCC bagi tempoh Mei 2024 hingga April 2026 yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir semasa pelancaran Program POLYCC Industrial Nexus 2024 (INDex POLYCC 2024) yang berlangsung di Politeknik Ungku Omar, Ipoh, Perak baru-baru ini.
Program ini memperkukuhkan lagi perkongsian strategik antara industri dan politeknik dimana ia berfungsi sebagai platform strategik untuk Kementerian Pendidikan Tinggi dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti berinteraksi secara langsung dengan pihak industri.
Ia juga bertujuan untuk menekankan kepentingan kerjasama strategik yang membolehkan pensyarah dan pelajar dari politeknik dan kolej komuniti (POLYCC) mendapat manfaat daripada program yang dipacu industri, latihan industri yang berstruktur dan terkini, dan akhirnya dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.
Menurut Dr. Zambry, Kementeriannya diberi tugas khas untuk merancang semula dari segi sistem pendidikan teknikal khususnya dalam konteks Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memastikan tenaga kerja yang diperlukan dalam industri dapat diurus dan diselaraskan.
“Oleh itu, kita telah menggunakan pendekatan ‘triple helix’ di mana akan wujud kerjasama antara kerajaan, industri dan institusi pendidikan.
“Menerusi kerjasama itu, pihak industri akan mengambil bahagian dalam proses pengajaran dan akhirnya akan membuka ruang praktikal untuk pelajar.,” katanya.
Antara yang hadir di Majlis tersebut termasuklah Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, Dato’ Dr Haji Megat Sani bin Megat Ahmad Supian, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (KPPK), Dato’ Dr. Haji Mohd Zahari bin Ismail serta Dr. Haji Shamsuri bin Abdullah, Pengarah Politeknik Ungku Omar.
Bagi syarikat Sedafiat, kerjasama antara Sedafiat dan Politeknik Kota Kinabalu telah lama dijalinkan yang mana pihak institusi telah menyediakan ramai graduan yang berkaliber untuk menjadi sebahagian daripada tenaga kerja di Sedafiat.
Program ini membolehkan Syarikat untuk memberikan peluang kepada lulusan Politeknik Kota Kinabalu untuk menyediakan ruang serta pengalaman kearah tenaga kerja yang terlatih.