KOTA KINABALU: Kejadian melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai dan Kunak baru-baru ini agak mengecewakan.
Ketua Wanita Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Redonah Bahanda berkata, sebagai seorang wanita dan pemimpin, insiden itu mencerminkan tindakan yang bertentangan dengan prinsip profesionalisme, etika dan keadilan, terutamanya terhadap wanita dalam politik.
Katanya, insiden ini bukan sahaja mencemarkan institusi politik, tetapi juga memberi isyarat negatif kepada golongan wanita ingin menceburi dunia kepimpinan.
“Wanita sering berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk diskriminasi dan keganasan, dalam usaha mereka memperjuangkan hak rakyat.
“Insiden ini menunjukkan perlunya usaha yang lebih gigih dalam memastikan suasana politik bebas daripada sebarang bentuk intimidasi, termasuk keganasan fizikal,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Oleh itu katanya, tindakan tegas perlu diambil ke atas pelaku bagi memastikan keadilan ditegakkan.
Katanya, Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat perlu diwujudkan bagi melindungi wanita, terutamanya dalam politik, daripada sebarang ancaman fizikal atau mental.
“Saya menyeru semua pemimpin, terutamanya lelaki, untuk menghormati wanita dan memupuk suasana kerja yang selamat dan adil.
“Setiap pemimpin, tanpa mengira jantina, harus menjadi contoh kepada masyarakat, dan bukan mencetuskan konflik yang menjejaskan kredibiliti institusi demokrasi,” katanya.