KOTA KINABALU: Pesara kerajaan negeri Sabah akan menerima bonus sebanyak RM1,000 dan dibayar sebelum Hari Raya Aidilfitri, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Mengumumkan perkara itu, beliau berkata kerajaan mengambil keputusan berkenaanselepas mendengar pemintaan daripada pesara selain jasa khidmat bakti mereka selama ini.
“Dalam pembentangan belanjawan lalu, hanya penjawat awam yang mendapat bonus. Saya rasa tidak adil untuk tidak memberi bonus kepada pesara kerajaan negeri yang telah berkhidmat bakti kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-47 Koperasi Pekerja-Pekerja Kerajaan Sabah Berhad (KOPEKS) di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Rabu.
Terdahulu, beliau mahu KOPEKS terus merancang beberapa perniagaan baharu atau mempelbagaikan lagi perniagaan koperasi khususnya dalam era mencabar masa kini.
“Jaringan kerjasama dengan agensi perniagaan lain juga perlu dijalin dengan baik serta mengekalkan tahap tadbir urus yang baik dan amanah dalam koperasi. Saya dimaklumkan bahawa KOPEKS pada tahun 2023 telah menyediakan pelan strategi perniagaan bagi 2024-2026, yang meliputi bidang perniagaan, pelaburan dan pembangunan perniagaan baharu.
“Ini termasuk usaha KOPEKS membangunkan dua bidang tanah yang sedia ada masing-masing di Menggatal dan Lahad Datu untuk perumahan yang boleh dibeli oleh ahli dan orang ramai.
“Usaha ini amat baik dan saya yakin dengan bermulanya projek itu nanti, sudah pasti KOPEKS juga turut seiring dengan matlamat Pelan Pembangunan Negeri Sabah iaitu Hala Tuju Sabah Maju Jaya,” katanya.
Sehubungan itu beliau yakin kepimpinan KOPEKS hari ini mampu memenuhi keperluan ahli dan memperkukuh reputasi koperasi.
“Pengurusan yang cekap, komited dan berintegriti dalam setiap aspek akan meningkatkan kestabilan kewangan dan memberi manfaat berterusan kepada ahli dan komuniti. KOPEKS yang kini sudah mencapai usia 61 tahun dan sebagai koperasi tertua di negeri ini perlu terus kekal relevan dan menjadi pilihan kepada penjawat awam.
“Koperasi ini pernah mencapai sehingga 20,000 ahli dalam era akhir 70-an dan 80-an. Saya masih ingat pada ketika itu, KOPEKS turut menyediakan kemudahan pembiayaan
kredit dan berbagai kemudahan lain kepada ahlinya. Ini merupakan sejarah besar KOPEKS.
“Walaupun bilangan ahli yang aktif ketika ini seramai 5,898 orang, saya percaya ini akan menjadi sumber kekuatan kepada KOPEKS. Jika ahli bersatu dan memberi sokongan
kepada pengurusan serta kepimpinan koperasi, saya yakin KOPEKS akan mengekalkan kejayaan dan kecemerlangannya,” katanya.
Beliau melahirkan rasa gembira kerana hampir 90 peratus ahli telah menikmati pelbagai kemudahan yang disediakan oleh KOPEKS, khususnya bagi tujuan menampung
pengajian anak ahli yang melanjutkan pelajaran, menampung kos perubatan dan membaikpulih rumah khusus bagi ahli yang akan bersara.
“Selain itu, program lain yang turut disediakan seperti pembiayaan kredit, pembiayaan menunaikan umrah, program pelancongan anggota, tabung Khairat bagi ahli yang meninggal dunia, insentif pendidikan, sumbangan kepada asnaf dan anak yatim,” katanya.
Deasoka