TUARAN: Polis sedang giat mengesan pemandu kereta Proton Iswara berwarna silver/hitam yang disyaki terlibat dalam kejadian langgar lari sehingga meragut nyawa seorang penunggang motosikal di Kampung Lok Batik, Jalan Tuaran, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.50 pagi itu, kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss dan dua buah kereta iaitu Perodua Kembara dan Proton Iswara. Pemandu Proton Iswara terbabit dipercayai melarikan diri selepas kejadian dan meninggalkan kenderaannya kira-kira 200 meter dari lokasi kemalangan, di hadapan sebuah rumah tidak beralamat.
Mangsa seorang lelaki, penunggang motosikal, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 3.00 petang hari ini di Unit Forensik, Hospital Tuaran.
Ketua Polis Daerah Tuaran, Superintendan Noraidin Ag. Maidin berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, beberapa individu telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tuaran, Inspektor Haffiz di talian 011-61600964 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati dan berhemah ketika memandu.