KOTA KINABALU: Pertubuhan Peladang Negeri Sabah (PPNS) menyambut baik cadangan Kerajaan Persekutuan untuk menubuh Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) bagi menangani pertindihan fungsi dalam badan berkanun serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Pengerusinya, Datuk Mohd Nazri Abdullah berkata, cadangan itu yang diumum oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim amat relevan memandangkan banyak badan berkanun dan GLC yang ditubuhkan sebelum ini mempunyai fungsi yang bertindih.
“Sudah tentu pertindihan fungsi ini menyebabkan banyak ketirisan termasuk pembaziran dana kerajaan. Dengan adanya jawatankuasa khas berkenaan yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Seri Asri Hamidon, ianya dapat membantu Kerajaan Madani menyelaras pelbagai bantuan membantu rakyat jelata”, katanya.
Beliau mengulas kenyataan PM berhubung menubuhan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan termasuk Syarikat Berhad Menurut Jaminan (CLBG) pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Anwar berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Shahar mengenai pelan di bawah agenda reformasi khusus untuk GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan agensi untuk memastikan keseimbangan antara objektif korporat dan ekonomi nasional tercapai.
Katanya, bagi memastikan pelaksanaan yang sewajarnya, Unit Pantau MADANI, yang dipengerusikan oleh Mohd Khalid Mohamed Latiff akan melaksanakan pemantauan bagi memastikan ia tidak tersasar daripada matlamat.
“Apabila dikaji semula seperti mana yang disinggung oleh Yang Berhormat (Datuk Mohd Shahar Abdullah BN-Paya Besar), memang ada pertindihan dan kadang-kadang perlu diingatkan mengenai matlamat asalnya. Apakah masalah yang memaksanya menjana pertumbuhan, berdaya maju secara komersial tetapi di samping itu memenuhi agenda negara,” kata beliau.
Anwar menegaskan bahawa meskipun badan-badan ini bebas di bawah lembaga masing-masing, mereka tidak wajar mengetepikan prinsip tata kelola dan tadbir urus yang ditetapkan.
“Saya juga tegaskan keperluan untuk (Jabatan) Audit Negara untuk campur tangan kerana kita kadang-kadang tidak dapat pantau sehingga ke peringkat bawah dan kecelaruan banyak juga berlaku dengan agensi yang terus mencatat kerugian tahun demi tahun,” kata beliau.
Deasoka