Tamparuli: Penganjuran program santai dalam kalangan masyarakat mampu menarik penyertaan pelbagai lapisan masyarakat daripada pelbagai kampung berbeza merupakan inisiatif terbaik untuk mengeratkan hubungan silaturahim dan menyatu padukan rakyat.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim berkata, program komuniti yang mampu menyatukan penduduk setempat dan memupuk semangat perpaduan, penting bagi menyemarakkan hubungan silaturrahim masyarakat.
“Penduduk dari pelbagai kampung perlu terus diberi peluang untuk berinteraksi dan bekerjasama melalui pertandingan atau program yang mampu melibatkan semua peringkat umur,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Pertandingan Darts Santai-Santai Tertutup Tenghilan 2024, di Dewan Komuniti Kampung Molisau Tenghilan, dekat sini.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamparuli, berkata, pendekatan seumpama itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara komuniti tetapi juga meningkatkan semangat cintakan negeri dan negara.
Beliau turut menekankan pentingnya program sebegini untuk membina hubungan harmoni di Sabah, khususnya di Tamparuli, kerana Sabah kaya dengan kepelbagaian budaya dan etniknya.
Menurutnya, perpaduan adalah asas penting dalam memastikan pembangunan negeri dapat dijalankan dengan lancar.
“Kerajaan akan terus menyokong program-program seumpama ini dan menggalakkan lebih banyak kerjasama antara kampung serta badan-badan tempatan untuk menjayakan lagi usaha menyatupadukan rakyat,” katanya.
Pertandingan tersebut disertai seramai 34 peserta lelaki dan 14 peserta wanita, yang menyaksikan pasangan Fredolin Ginduk dan Bernord Adih muncul juara bagi kategori Men Doubles, manakala pasangan Winna Garagad dan Marina Marcus menungguli kategori Women Doubles.